KAMPUS KESIHATAN USM TUBUH KELAB BELIA RIBEN MERAH (RRYC)
KUBANG KERIAN, 10 Sept. 2014 –Kelab Belia Riben Merah(RRYC), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat sambutan yang mengalakkan dari para pelajar melalui pendaftaran semasa majlis pelancaran penubuhan kelab tersebut yang diadakan serentak dengan Majlis Kenduri Komuniti.
Program yang dianjurkan oleh USM dengan kerjasama Yayasan AIDS Malaysia, Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (SAHABAT) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihadiri oleh kira-kira 250 orang pelajar Kampus Kesihatan, USM selain golongan komuniti yang hidup dengan HIV di sekitar negeri Kelantan.
Berucap semasa merasmikan majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal menyatakan rasa bangga beliau dengan inisaitif pelajar Kampus Kesihatan, USM yang turun padang untuk turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan sebegini kerana ia dapat mematangkan diri dan mampu mengubah cara pemikiran seseorang itu dalam memahami kehidupan bermasyarakat.
"Ambilah peluang ini, sesungguhnya seminit masa yang diluangkan untuk bersama masyarakat tidak ternilai ilmunya jika dibandingkan dengan asa yang dihabiskan untuk menelaah pelajaran semata-mata," kata beliau.
Ahmad Shukri mengingatkan para pelajar yang bakal berkhidmat dalam bidang perubatan agar tidak menyisihkan golongan komuniti yang hidup dengan HIV sebaliknya memberikan layanan dan pertolongan yang sama rata tanpa ada perasaan prejudis dan diskriminasi.
"Seperti mana merawat seorang ibu yang sarat mengandung dan melayan kanak-kanak, begitu jugalah layanan yang perlu diberikan kepada mereka yang hidup dgn HIV dan komuniti terpinggir yang lain, jangan sisihkan mereka sebaliknya layanlah dengan belaian dan kasih sayang," tambah Ahmad Shukri lagi.
Pada majlis yang sama, Yayasan AIDS Malaysia menerima cek sumbangan dari dua rakan korporatnya, Maybank Berhad dengan nilai sumbangan RM 119,646.00 manakala NGC Energy Sdn. Bhd. pula dengan dana berjumlah RM 6,000.00 untuk disalurkan kepada tabung amal program tersebut.
Pada majlis ini, 3 ekor lembu hasil sumbangan individu dan syarikat korporat disembelih dan diaguhkan kepada Golongan Asnaf termasuklah mereka yang hidup dengan HIV. Manakala sehari sebelumnya pula telah diadakan Bengkel HIV 101 dan Bengkel HIV & Islam.
Hadir sama ialah Selebriti Sokongan Riben Merah, Yayasan AIDS Malaysia, Fahrin Ahmad meminta mahasiswa bersama-sama menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak yayasan ini serta mengambil peluang yang ada untuk berbakti kepada masyarakat yang memerlukan.
"Percayalah, kekuatan sesebuah masyarakat terletak pada keprihatinan serta layanan mereka kepada golongan yang memerlukan," kata Farhrin
Hadir sama ialah Setiausaha Kerhormat Yayasan AIDS Malaysia, Encik Hisham Hussein yang mewakili Pengerusinya serta Presiden SAHABAT, Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia, Haji Abdul Razak Ahmad, Pengarah Program Jelajah Kelab Belia Riben Merah (RRYC) Kampus Kesihatan USM, Cik Erni Suci Cahyani Imam Sunaryo serta wakil-wakil agensi kerajaan dan korporat dan pegawai-pegawai utama USM yang lain. Teks/Foto: Mohd Rodin Che Yusoff Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1220