KTP MODEL BERJAYA LIBAT SAMA AKADEMIA-INDUSTRI-KOMUNITI
PUTRAJAYA, 10 September 2014 - Program Pemindahan Ilmu atau “Knowledge Transfer Programme” (KTP) sebagai projek agenda kritikal Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) berjaya menjadi model yang akan terus diperkasakan sebagai model kejayaan hubungan libat sama kepakaran universiti melalui para akademianya dengan gandingan bersama industri dan komuniti untuk pembangunan negara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching ketika berucap menutup Persidangan Kedua Program Pemindahan Ilmu peringkat Kebangsaan di sebuah hotel di sini berkata, kejayaan ini adalah satu era baharu dalam perkongsian ilmu yang sejajar dengan usaha mendokong agenda Program Transformasi Ekonomi Malaysia ke arah mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.
Tambahnya lagi, pelaksanaan KTP menguji tahap kekuatan akademia universiti dalam menterjemahkan ilmu dan hasil penyelidikan ke dalam konteks yang lebih praktikal, relevan dan bermakna bagi sektor industri dan kumpulan masyarakat.
“Ilmu yang diperolehi tidak akan bermakna jika tidak dapat diamalkan dan tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara, maka gandingan antara para akademia, graduan pelatih dan pihak industri dan komuniti berupaya menjadikan bidang pendidikan tinggi lebih relevan dan signifikan khususnya dalam senario ekonomi masa kini yang penuh cabaran,” kata Mary Yap.
Sementara dalam ucapan pada majlis yang sama Pengerusi CAP KTP, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, usaha ini amat berjaya dalam melahirkan siswazah yang berdikari dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara terutama sekali dengan pengalamannya dalam menjayakan program-program yang dibuat melalui kerjasama industri untuk melahirkan mereka sebagai usahawan pada masa hadapan untuk terus berdikari.
“Kita amat berharap model ini dapat menjadi contoh dalam mengajak pihak industri termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk berkembang dengan membantu kita terutamanya sebagai peluang latihan kepada para siswazah untuk memasuki dunia pekerjaan,” kata Omar.
Kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi, pihaknya juga yakin program-program yang ada ini akan dapat diperkukuh dan diperkasakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 nanti sebagai persediaan negara mencapai status negara maju dengan tumpuan kepada program-program tertentu yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang-bidang tumpuan melalui kerjasama rapat di antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menyumbang dana bagi memajukan projek-projek yang dilakukan.
KTP ialah salah satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10) yang menyediakan platform bagi menggalakkan kerjasama akademia dengan industri/komuniti melalui pemindahan ilmu di universiti kepada sasaran industri/komuniti untuk memperluas dan memperkukuhkan ilmu dalam kalangan masyarakat.
KTP turut menyediakan latihan berasaskan industri kepada siswazah pelatih bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran keusahawanan serta kebolehpasaran semasa menjalankan projek-projek di bawah program pemindahan ilmu ini.
Pada masa ini KTP menumpukan kepada bidang-bidang utama seperti pendidikan melibatkan peningkatan tahap pendidikan di daerah-daerah tertentu; keuntungan ekonomi untuk sektor industri/komuniti di sektor yang dikenalpasti; kelestarian dan Inisiatif Teknologi Hijau;Kumpulan Kelainan Mampu atau Upaya (OKU); dan pembangunan kurikulum industri/komuniti yang relevan (untuk sektor impak tinggi).
Sehingga kini, sebanyak 349 projek Program Pemindahan Ilmu bagi Pelan “Rolling” Pertama, Kedua, Ketiga dan Keempat yang telah dilaksanakan di seluruh Malaysia sejak tahun 2011. Pada tahun 2013, 3 projek rintis (pilot project) telah dikenal pasti daripada Projek Skim Geran KTP bagi pelaksanaan projek “Public Service Delivery Transformation (PSDT)” di bawah Pejabat Pengurusan Projek (PMO), Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (MGTC) bagi melestarikan teknologi hijau di Melaka dengan memperkenalkan beberapa kaedah transformasi dan amalan terbaik kepada sasaran yang telah dikenalpasti seperti sekolah-sekolah menengah terpilih sekitar Melaka, Hospital Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Jelas Omar, kejayaan KTP dapat dilihat dari Pelan Rolling Pertama (2011-2013) yang melibatkan 28 projek dengan industri, 18 projek komuniti, 206 orang ahli akademik dan 84 orang siswazah pelatih, diikuti dengan Pelan Rolling Kedua (2012-2014) yang melibatkan 85 projek industri, 30 projek komuniti, 380 orang ahli akademik dan 190 orang siswazah pelatih; Pelan Rolling Ketiga (2013-2015) dengan 84 projek industri, 51 projek komuniti, 480 orang ahli akademik dan 230 orang siswazah pelatih serta Pelan Rolling Keempat (Fasa 1&2) 2014-2016 melibatkan 62 projek industri, 33 projek komuniti, penglibatan 380 orang ahli akademik serta 190 orang siswazah pelatih.
Tambah Omar, KTP adalah mengikut kerangka Blue Ocean Strategy (BOS) dalam memberikan sumbangan lebih bermakna hasil daripada penyelidikan dan pembangunan ilmu yang pesat berlaku di universiti-universiti kita untuk faedah masyarakat secara menyeluruh.
Kira-kira 300 peserta menghadiri persidangan ini dari pelbagai universiti awam dan swasta. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Dr. Mohd. Gazali Abas, Pengarah NKRA (Jenayah) Dato’ Dr. Amin Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Dato’ Redza Rafiq Abdul Razak, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Dato’ Dr. Raduan Che’ Ros, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Profesor Dato’ Dr. Mohd. Fauzi Hj. Ramlan serta wakil-wakil Naib Canselor universiti awam dan swasta.
Pada majlis yang sama empat projek KTP dipilih sebagai yang terbaik pada tahun ini iaitu Projek Neuro-Nutritional Organic Beverage (Neuro D’Organic) yang diketuai Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Dr. Jahangir Kamaldin dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan rakan industri Emran Trading (M) Sdn. Bhd; Projek Hybrid Solar – Wind Power Generation System for Highway/Interchange Lighting yang diketuai oleh Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansor dari Universiti Malaysia Perlis (UMP) bersama rakan industri Perunding Iza’d Sdn. Bhd; Projek Rawatan Air Inovatif Menggunakan Biopolimer Organik (Semulajadi) untuk Merawat Air Sungai yang diketuai Profesor Dr. Azni Idrios dari Universiti Putra Malaysia bersama akademia Dr. Norhafizah Abdullah serta rakan industri Pakar Management Technology (M) Sdn. Bhd dan Projek Seaweed Cultivation Management in Semporna Sabah yang diketuai oleh Profesor Dr. Roselina Sahmad Saufi dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama-sama ahli-ahlinya Junainah Jadi dan Roslinah Mahmud dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dr. Lee Seong Wei dari UMK melalui Rakan Industri, Ulink Agro-Based Sdn. Bhd. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1503