USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UBAH PERSEPSI TERHADAP PENGAJIAN TINGGI - ASMA

180914-1

PULAU PINANG, 17 September 2014 – Persepsi orang ramai dan ibu bapa terhadap pengajian tinggi perlu diubah, bukan hanya tertumpu kepada pengajian tinggi melalui universiti awam tetapi juga kepada politeknik dan institusi pengajian yang memberikan kemahiran TVET (Teknikal, Pendidikan Vokasional dan Latihan).

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Regional Focal Points Meeting (Asia) di sini hari ini, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor Dato' Dr. Asma Ismail berkata,  terdapat  peningkatan dalam pengambilan pelajar tahun ini iaitu daripada 40,000 orang kepada kira-kira 42,000 orang namun tempat masih tidak mencukupi. 

"Tempat yang ada ada di semua universiti awam adalah terhad, hanya mereka yang benar-benar memenuhi syarat yang diterima masuk yang menunjukkan bahawa persaingan yang ada pada masa ini adalah sengit dan memerlukan  pencapaian terbaik dalam kalangan calon-calon," jelas Asma.

Beliau diminta mengulas tentang pandangan  terdapat ramai yang gagal memasuki universiti pada tahun ini.

Tambah Asma, sampai masanya untuk ibu bapa dan pelajar melihat kepada peluang-peluang melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama melalui pelbagai institusi pengajian tinggi TVET yang juga membuka peluang untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah tinggi di universiti-universiti awam pada peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran Ph.D.

Pada masa ini institusi-institusi pengajian tinggi tersebut tidak termasuk universiti swasta menyediakan peluang pengajian kepada kepada lebih 60,000 orang untuk mengikuti pengajian pada peringkat ijazah dan diploma yang menjanjikan peluang pekerjaan lebih luas selepas tamat pengajian.

180914-2

Diminta mengulas tentang pencapaian lima universiti awam dalam QS World Rankings yang baharu dikeluarkan, Asma berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh semua universiti yang terlibat terutamanya dengan impak tinggi penyelidikan dan penerbitan yang menjadi antara fokus utama penilaian.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan dan semua pemimpin universiti yang memberikan pencapaian sedemikian, terutamanya dengan ekosistem dan prasarana yang dibangunkan oleh pihak kerajaan yang tentunya memerlukan masa yang panjang untuk mencapai satu kedudukan yang tinggi dalam kalangan universiti dunia," kata Asma.

Semua lima buah universiti penyelidikan (RU) mencapai kedudukan yang meningkat  di antara 400 buah universiti yang disenaraikan pada ranking terbaik dunia kali ini.

Asma turut memberikan penghargaan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti  Teknologi MARA (UiTM) yang turut tersenarai dalam QS World Rankings kali ini.

Asma juga menegaskan bahawa terdapat pelbagai ranking yang dibuat oleh banyak pihak di seluruh dunia yang perlu dilihat, bukan hanya tertumpu kepada  "QS World University Rankings" ini, yang kaedah dan metodologi penilaian berbeza-beza.​

Terdahulu, ketika merasmikan Regional Focal Points Meeting (Asia), Asma meminta agar usaha dibuat bagi membentuk kerangka Rujukan Kualiti  yang membolehkan pemindahan kredit dibuat dalam kalangan universiti yang terlibat dalam kerjasama ini, terutamanya dalam kalangan  negara-negara Komanwel.

"Barangkali kita perlu fikirkan untuk menubuhkan satu konsortium untuk bergerak dalam penawaran program pengajian yang ada  untuk negara-negara Komenwel, bukan hanya Asia," kata Asma.

Tambahnya,  jika kita ingin merealisasikan program pengajian sepanjang hayat dan menyediakan peluang pembelajaran yang lebih luas dalam kalangan penduduk apatah lagi hasrat kita untuk menghadapi persaingan dari segi harga, bahasa dan akreditasi dalam sektor pendidikan dunia yang berkembang pada kadar 12% di Asia dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Malaysia kini menduduki tempat ke-12 dalam tumpuan pelajar luar negara.

Menurut Asma, ia bukan sahaja berkaitan dengan akses pendidikan melalui program secara jarak jauh dan atas talian dalam kalangan rakyat negara ini dengan institusi luar negara, tetapi juga dari negara ini untuk dikongsi bersama mereka yang berada di mana sahaja di dunia.

"Perubahan pesat dalam dunia global dan pembelajaran atas talian merupakan satu kaedah pembelajaran masa hadapan yang akan menentukan bagaimana generasi akan datang mendapat peluang pengajian tinggi yang seluas-luasnya  seperti mana Massive Open Online Courses (MOOC) yang menjadikan pengajaran pembelajaran tidak lagi ditentukan oleh masa dan tempat sebaliknya di mana sahaja di dunia," jelas Asma.

IMG 3646

Pendidikan kini tidak lagi terletak kepada satu kurikulum yang sama untuk semua sebaliknya boleh dikhususnya mengikut keperluan latar belakang pelajar dan pendidikan yang diterimanya.

Mesyuarat "Regional Focal Points (Asia)" yang berlangsung pada  17 – 19 September ini disertai oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang dari Malaysia, Bangladesh, Brunei, India, Maldives, Pakistan, Sri Lanka serta Commonwealth of Learning (COL) yang beribu pejabat di Kanada dengan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi (IPPTN) USM sebagai hos.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) COL, Profesor Dr. Asha S. Kanwar, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi yang mewakili Naib Canselor dan  Pengarah IPPTN, Profesor  Dr. Ahmad Nurulazam Md. Zain.

Mesyuarat kali ini bertemakan menerokai pendidikan dan penggunaan teknologi dan kaedah pendidikan jarak jauh dalam pembangunan lestari. Fokus utamanya ialah untuk melihat dan menentukan keutamaan dan keperluan dalam pendidikan dan latihan di Asia serta peranan COL dalam mengetengahkan isu yang berkaitan di rantau ini. Teks: Mohamad Abdullah:/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa​

  • Created on .
  • Hits: 1174

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024