USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERHASRAT TINGKAT KEDUDUKAN DALAM RANKING DUNIA

PULAU PINANG, 17 September 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) komited  kepada usaha peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan serta akan  terus memfokuskan usaha  dalam menjalin kerjasama antarabangsa dalam bidang nicnya.

Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang kini sedang mengetuai delegasi USM dalam rangka menjalin kerjasama akademik dan penyelidikan dengan beberapa buah universiti terkemuka di Perancis.

Di samping itu USM juga melihat kepada usaha mencapai kedudukan yang lebih tinggi dalam ranking-ranking lain seperti The Academic Ranking of World Universities (ARWU) yang dilakukan oleh para penyelidik di Center for World-Class Universities of Shanghai Jiao Tong University (CWCU) pada tahun ini dengan Pengajian Kejuruteraan USM berada pada kedudukan 101 – 150.

Naib Canselor USM itu mengulas laporan kedudukan ranking universiti dunia dengan USM menunjukkan peningkatan dalam beberapa penunjuk utama QS World University Rankings yang baharu dikeluarkan.

QS World University  Rankings meletakkan enam penunjuk penilaian iaitu  "Academic Reputation" yang berdasarkan kajian global akademik (40% dari keseluruhan mata ranking yang dibuat), "employer reputation" (10%) yang dibuat berdasarkan kajian global pekerja dalam kalangan siswazah, "Faculty/Student ratio" (20%) yang dibuat berdasarkan indikator komitmen pengajaran, "Citations per Faculty" yang dibuat berdasarkan indikator impak penyelidikan,  "International Student Ratio" yang dinilai berdasarkan bilangan kepelbagaian pelajar antarabangsa dan "International Staff Ratio" yang menilai kepelbagaian fakulti akademik antarabangsa.

Dalam senarai yang dikeluarkan itu, USM memperkukuhkan kedudukannya dalam pengajian Sains Persekitaran daripada kedudukan Ke-30 pada tahun lalu kepada Ke-28 pada tahun ini. 

Manakala dalam semua penunjuk USM meningkat pada kedudukan terbaik untuk tiga penunjuk iaitu ranking 401 (17.4 mata) – yang tertinggi dalam kalangan universiti di Malaysia untuk "Citations per Faculty", 213 (55.3 mata) untuk "Academic Reputation" dan 336 (46.4 mata) untuk "Employer Reputation".

USM mencapai kedudukan untuk ranking 12 subjek iaitu:

·      Pengajian Persekitaran (Environmental Studies): 28

·      Kimia:  101 – 150

·      Komunikasi dan Pengajian Media: 101 – 150

·      Sains Komputer dan Sistem Maklumat: 51 – 100

·      Ekonomi dan Ekonometrik: 151 – 100

·      Pendidikan dan Latihan: 101 – 150

·      Kejuruteraan – Kimia:  51 – 100

·      Kejuruteraan – Awam dan Struktural: 51 – 100

·      Kejuruteraan – Elektrik dan Elektronik: 101 – 150

·      Kejuruteraan – Mekanikal: 51 100

·      Sains Material: 151 – 200

·      Farmasi: 51 – 100

"Kita akan terus berusaha secara berterusan untuk meningkatkan kedudukan yang ada kerana ia adalah satu proses yang berterusan," kata Omar.

Menurut beliau, pada dasarnya, USM lebih menumpukan perhatian  kepada penunjuk-penunjuk fundamental seperti hasil "citation per faculty" yang  menggambarkan keupayaan menghasilkan output berwibawa berbanding penunjuk output seperti nisbah pelajar-fakulti.

Begitu juga dengan tumpuan USM kepada penilaian mengikut subjek memandangkan inilah antara faktor yang digunakan oleh  pelajar ketika membuat pertimbangan mencari tempat pengajian dan yang juga  digunakan oleh fakulti lain di pelbagai institusi pengajian tinggi sama ada di dalam dan di luar negara untuk menjalin kerjasama akademik dan penyelidikan.

Kerana itu juga tegas Omar, tumpuan USM  ialah untuk mencapai kedudukan yang lebih baik dalam meletakkan reputasi akademik dan hasil kerja penyelidikan yang berimpak tinggi yang telah menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan yang perlu dipertahan dan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

"Ini bersesuaian dengan pandangan QS World Rankings yang memberikan penekanan utama kepada teknologi penyelidikan berimpak saintifik yang tinggi," kata Omar.

Berdasarkan kenyataan QS World University Rankings, usaha mengadakan ranking ini adalah  bertujuan untuk membantu pelajar membuat perbandingan pilihan-pilihan pendidikan di peringkat antarabangsa yang dibuat sejak tahun 2004 yang melibatkan 800 universiti dunia dengan penilaian yang melibatkan lebih 3,000 buah universiti dengan 400 universiti diberikan kedudukan ranking secara individu manakala selebihnya dibuat secara berkumpulan.

Tumpuannya ialah kepada 4 bidang yang luas mengikut minat bakal pelajar iaitu penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran graduan dan pengantarabangsaan (international outlook).​

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1523

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024