USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI TUNJANG KEKUATAN NEGARA - KPPA

DSC 6603

KUALA LUMPUR, 22 Sept. 2014 – Perkembangan pesat teknologi dan kemajuan global yang pantas bakal memperlihatkan hanya dengan inovasi dapat menentukan tahap relevannya sesebuah negara dalam abad ini.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, sambil mengingatkan negara yang tidak meletakkan inovasi sebagai agenda teratas dalam pembangunannya akan cepat tertinggal dan berada di luar era pengetahuan.

Katanya, dalam era ini, idea adalah komoditi yang sangat bernilai untuk menjana inovasi dan pengetahuan baharu perlu dikomersialkan secara pantas untuk menjana ekonomi dengan lebih mapan.

``Organisasi dalam abad ini akan banyak bergantung kepada kepantasan memberi tindakbalas terhadap persekitaran yang berubah di peringkat global mahupun lokal, dan hal ini memerlukan organisasi untuk melaksanakan transformasi.

``Kebolehan untuk bertransformasi sangat signifikan dengan daya inovasi. Ini kerana transformasi merupakan usaha instrumental untuk membawa perubahan secara monumental dan memberangsangkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan ucaptama bertajuk Anjakan Inovasi ke arah Transformasi Perkhidmatan Sektor Awam sempena Seminar Inovasi Sektor Awam 2014 anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di INTAN Bukit Kiara, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengarah INTAN, Dato’ Dr. Mazlan Yusoff.

DSC 6587

Mohamad Zabidi juga menjelaskan, organisasi yang tidak berupaya melaksanakan transformasi adalah mereka yang selesa dengan apa yang ada dan tidak berani untuk berubah, sekaligus menjadikan usaha transformasi adalah cabaran besar yang perlu dilakukan oleh penjawat awam khususnya.

Tambah beliau, negara juga pada ketika ini amat memerlukan inovasi sosial yang dapat memberi faedah kepada rakyat, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak baru-baru ini.

Mohamad Zabidi berkata, inovasi sosial boleh berupaya menghasilkan kaedah penyelesaian, metodologi serta kerangka konseptual baharu yang perlu dibentuk dan dibangunkan dengan bermatlamatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau juga turut menyarankan agar penjawat dan perkhidmatan awam dapat melihat inovasi dari perspektif “outside-in” iaitu menjalin hubungan yang lebih bersinergi dengan rakyat bagi menghasilkan penemuan-penemuan baharu yang dapat dimanfaatkan hasilnya oleh komuniti.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Malaysia kini tersenarai dalam kelompok 20 negara paling berdaya saing di dunia, melonjak empat anak tangga dalam kalangan 144 negara.

DSC 6599

Katanya, menurut Laporan Daya Saing Global 2014-2015 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia, kedudukan itu turut menjadikan Malaysia mendahului negara ekonomi maju seperti Austria, Australia, Perancis dan juga Ireland.

Seminar Inovasi Sektor Awam 2014 disertai oleh lebih 300 peserta dalam kalangan penjawat awam dan swasta, dengan pembentangan tujuh kertas kerja dari panelis terkemuka negara termasuk tokoh industri, pegawai kanan sektor awam dan sebagainya.

Antara tajuk pembentangan termasuk 'Innovation Through People: The Saudi Aramco Experience, Asas Pembudayaan Inovasi di Organisasi, Australian Public Sector Innovation Framework, Pengaruh Pemboleh Ubah Ekosistem Inovasi Sektor Awam Terhadap Pembudayaan Inovasi di MPOB dan sebagainya. Teks dan foto: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 1157

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024