USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM - KEMENTERIAN KESIHATAN KUKUH KERJASAMA

210914-1

BERTAM, KEPALA BATAS, 20 September 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang berkaitan pada masa hadapan. Hal ini dicapai hasil kunjungan rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) hari ini.

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika mengalu-alukan rombongan Kementerian Kesihatan itu berkata, adalah penting untuk USM dan agensi-agensi kerajaan berkongsi kepakaran dan kemudahan yang ada untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kos.

210914-2

"Apatah lagi dengan Kementerian Kesihatan memandangkan USM mempunyai kepakaran termasuk menyediakan sumber manusia yang perlu dalam sektor kesihatan apatah lagi dengan adanya Kampus Kesihatan USM di Kelantan dan IPPT di Bertam," kata Omar.

Naib Canselor USM itu turut menjemput Ketua Pengarah Kesihatan dan pihak Kementerian Kesihatan mengadakan kunjungan ke Kampus Kesihatan untuk melihat dari dekat prasarana dan kepakaran yang ada.

Pengarah IPPT Profesor Dr. Abdul Aziz Tajuddin menyampaikan taklimat perkembangan IPPT di samping pembentangan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr. Mohamad Sabri Othman tentang Cadangan Perkhidmatan Radioterapi Zon Utara Melalui strategi Lautan Biru Kebangsaan.

210914-3

Ketua Pengarah Kesihatan menyambut baik pelbagai cadangan dan pandangan yang diberi terutamanya dalam mengukuhkan hubungan dan perkongsian kepakaran dan kemudahan yang ada pada kedua-dua pihak, USM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Pada prinsipnya, kita ingin melihat bagaimana kedua-dua pihak dapat saling mengukuhkan antara satu sama lain terutamanya dalam bidang-bidang kekuatan yang berbeza-beza termasuk misalnya mencari tanda aras yang sesuai untuk sesetengah bidang kepakaran dan bagaimana pula untuk memanfaatkan apa yang sedia ada misalnya di IPPT ini dengan  sebaik mungkin," kata Noor Hisham.

Beliau turut menjelaskan tentang keperluan peruntukan untuk pelbagai tujuan yang pada asasnya datang daripada sumber yang sama iaitu Kementerian Kewangan Malaysia dalam menyediakan keperluan yang ada.

IMG 4103

Hadir sama di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Kanan (Perubatan) Datuk Dr. Jayaindran a/l Tan Sri Sinnadurai, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Teks: Mohamad bin Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

​ 

  • Created on .
  • Hits: 973

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024