PROGRAM KEMUNCAK EXP DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
PULAU PINANG, 22 September 2014 - Siri Explore The Unknown Potentials (EXP) bagi tahun 2014 sampai ke kemuncaknya apabila program sehari EXP 2014 The Grand Finale diadakan di Dewan Tunku Syed Putra baru-baru ini.
EXP 2014 The Grand Finale mendapat sambutan yang luar biasa dan telah disertai oleh 3000 peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 dari seluruh sekolah di sekitar kawasan Pulau Pinang.
EXP ialah seminar perkongsian ilmu dan pengalaman oleh tiga orang graduan USM iaitu Muhammad Solihin Mohd Razali (Sains Gunaan Fizik ’10) yang juga Smart Study Specialist, Khairul Azhar Abdul Jalil (Seni Halus ‘09 dari Academic Coach For Youth dan Faris Hakim Norashiddin (Public Speaking Expert) yang mengaplikasikan sesi pembelajaran Ultra-Dynamic berbentuk ‘High Impact Learning’ yang dirangka khusus untuk para pelajar.
“Seandainya kita sedar betapa pentingnya menuntut ilmu, pasti tidak akan ada rasa jemu,” kata Khairul Azhar kepada semua para pelajar peserta EXP.
Pada tahun ini, EXP telah menjelajah ke Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis untuk membantu meneroka potensi luar biasa pelajar dan meningkatkan kemahiran penguasaan ilmu melalui 128 teknik belajar pantas yang telah terbukti efektif dan berkesan.
Penceramah jemputan di EXP 2014 The Grand Finale ialah Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Fynn Jamal, Elfira Loy, Kumpulan Titan (Bintang Mencari Bintang) dan Coach Nooraizan Zie. Kesemua penceramah telah berkongsi rahsia, teknik dan pengalaman untuk berjaya dalam bidang yang mereka ceburi supaya dapat dijadikan inspirasi kepada peserta EXP.
Program Kemuncak ini merupakan anjuran bersama Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Sekretariat Alumni Fajar Harapan dan Meow Meow International Sdn Bhd. Teks dan Foto: Khairul Azhar Abdul Jalil
- Created on .
- Hits: 2128