INOVASI HARUS MUDAHKAN MASYARAKAT
KUALA LUMPUR, 23 Sept. 2014 -Usaha setiap individu mahupun organisasi yang membudayakan inovasi untuk transformasi dalam praktis dan operasinya harus bersifat memudahkan masyarakat atau pun kumpulan sasaran, bukan sebaliknya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Zulkifli Yaacob berkata, ia penting bagi memenuhi kehendak masyarakat yang semakin tinggi selaras dengan kemajuan yang dikecapi negara pada ketika ini.
Katanya, masyarakat kini menuntut perkhidmatan yang cekap dan pantas, bukan dibebani dengan karenah birokrasi yang pelbagai yang melambatkan urusan pelanggan.
"Kita juga perlu tahu bahawa menjadi lumrah manusia suka kepada benda-benda yang baru dan untuk memenuhinya kita perlu meneroka idea dan berinovasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pembudayaan Inovasi dari Kacamata Seorang Yang Dipertua sempena Seminar Inovasi Sektor Awam 2014 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara di sini hari ini.
Seminar dua hari bermula 22 September 2014 itu adalah anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) dengan INTAN.
Zulkifli juga berkata, pembudayaan menjana inovasi adalah antara teras yang dipegang MPK dan ianya sehingga kini berjaya menjadikan pihak berkuasa tempatan di pantai timur itu antara yang terkedepan di negara ini.
"Kita sentiasa mencari jalan untuk memudahkan urusan yang dijalankan khususnya yang berkait rapat dengan pelanggan.
"Kalau boleh jika urusan yang memakan masa tiga bulan untuk diselesaikan kita cuba pendekkan kepada sebulan atau ke seminggu, malah jika boleh ke sehari dan sebagainya," katanya.
Tambah beliau, MPK juga komited meneruskan pembudayaan inovasi dalam perkhidmatan dan mensasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya 100 inovasi setiap tahun.
"Inovasi itu tidak semestinya melibatkan perkara-perkara besar sahaja malah sebagai contoh usaha mengurangkan penggunaan klip kertas dengan cara yang baru juga boleh dikira sebagai inovasi," katanya.
Beliau juga berkata penjawat awam perlu sentiasa berfikir di luar kotak bagi program-program inovasi dan MPK mengamalkan dasar tidak menjalankan program sama dan retorik setiap tahun.
Tambahnya, banyak program unik yang dijalankan oleh MPK dihasilkan melalui penjanaan inovasi oleh kakitangannya.
"Tidak ada yang mustahil untuk direalisasikan.Kita perlu sentiasa mencuba dan bersedia untuk berubah," katanya.
Dalam pada itu, MPK yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke-101 baru-baru ini terkenal dengan pelbagai tadbir urus unik termasuk urusan atas talian yang cepat, pantas dan memudahkan masyarakat (e-rancang).
MPK yang tampil dengan tag-line 'We innovate, we transform, this is MPK' juga mempunyai 15 jabatan, 36 bahagian dan 1400 kakitangan di bawahnya. Teks dan foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 851