USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN KUFS KUKUH KERJASAMA TUBUH PUSAT BAHASA DAN BUDAYA JEPUN

IMG 4517

PULAU PINANG, 23 September 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kyoto University of Foreign Studies (KUFS) akan mengukuhkan lagi kerjasama akademik strategik antara kedua-dua institusi tersebut melalui penubuhan Pusat Kerjasama Bahasa dan Budaya Jepun.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM telah bersetuju menerima tawaran KUFS untuk menubuhkan Pusat tersebut kerana ia dilihat sebagai suatu kerjasama yang dapat memanfaatkan kedua-dua institusi dalam jangka panjang terutamanya dalam bidang pengajian bahasa dan budaya Jepun dengan terdapatnya pertukaran tenaga pengajar dan pelajar dari Jepun.

“USM dan KUFS dijangka akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dalam masa terdekat ini untuk menggariskan perincian dan aspek-aspek kerjasama berkenaan penubuhan Pusat tersebut.

“Saya yakin atas bimbingan tenaga pengajar dari Jepun, mahasiswa kita akan berpeluang untuk mendalami penguasaan bahasa Jepun dan mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat sekaligus membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik khususnya apabila mereka melanjutkan pengajian peringkat pasca ijazah atau bekerja di Jepun,” kata Omar.

Tambah beliau, “Ini juga sejajar dengan dasar pengantarabangsaan USM serta hasrat USM untuk melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai set minda global, berpengetahuan global dan berkeupayaan berkomunikasi dengan berkesan merentasi budaya dengan warga dunia.”

Takeshi-2

Sementara itu, Presiden KUFS, Profesor Dr. Takeshi Matsuda ketika ditemui selepas perasmian penutup Sidang Kemuncak Rangkaian Libatsama Universiti Komuniti Asia Pasifik ke-2 (2nd Asia-Pacific University-Community Engagement Network Summit atau ringkasnya 2nd APUCEN Summit) di sini hari ini, turut menyuarakan kegembiraannya apabila tawarannya untuk menubuhkan Pusat tersebut telah diterima oleh Naib Canselor USM.

“Sebenarnya cadangan penubuhan Pusat ini adalah lanjutan kepada Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani pada April 2013 antara KUFS dan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) USM berkaitan dengan kerjasama dalam bidang kajian bahasa.

“Dalam kerjasama terbaru ini, pihak USM akan menyediakan premis di dalam kampus untuk menempatkan kelas-kelas ‘satelit’ pengajaran dan pembelajaran manakala KUFS akan menyediakan tenaga pengajar yang terdiri daripada ahli akademik yang pakar dalam bidang bahasa Jepun,” kata Takeshi yang baru sahaja dipilih sebagai Timbalan Presiden APUCEN 2014-2017.

Beliau juga berharap Pusat tersebut akan menjadi pusat sehenti rujukan untuk membolehkan warga kampus serta penduduk sekitar Pulau Pinang untuk mendalami pengetahuan tentang bahasa dan budaya Jepun, dengan matlamat untuk merapatkan lagi hubungan persahabatan Jepun dan Malaysia.

Takeshi-5

Turut bersama ialah Timbalan Presiden KUFS, Profesor Dr. Toshiki Kumagai.

2nd APUCEN Summit 2014 telah dihadiri oleh 85 orang wakil-wakil universiti termasuk 11 orang Naib Canselor, Rektor dan Presiden institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

APUCEN adalah inisiatif ulung Malaysia yang telah dilancarkan pada 13 Julai 2011 di USM. Rangkaian ini bertujuan melibatsamakan institusi-institusi pengajian tinggi di rantau Asia-Pasifik untuk gerak bersama dan mempromosikan budaya libatsama universiti-komuniti dalam kalangan negara-negara anggota APUCEN.

- Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon & Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 927

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024