USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

APUCEN: RANGKAIAN BERSAMA UNIVERSITI DAN MASYARAKAT

220914-3

PULAU PINANG, 22 September 2014 – Asia-Pacific Universiti Community Engagement Network (APUCEN) menghasilkan satu rangkaian yang membawa bersama universiti dan juga masyarakat serta memindahkan ilmu dan kepakaran di bilik kuliah untuk kebaikan komuniti.

“Rangkaian ini juga adalah salah satu cara kemahiran universiti boleh digunapakai untuk kebaikan masyarakat,” ujar Timbalan Menteri Pendidikan II, YB P. Kamalanathan P. Panchanathan ketika berucap di Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak 2nd APUCEN Summit 2014 di Hotel Royal di sini hari ini. 

“Saya berharap lebih ramai ahli akademik di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara akan lebih peka dan berhasrat untuk memindahkan pengetahuan serta kemahiran untuk masyarakat dengan lebih agresif,” tambah beliau.

220914-4

“Contohnya, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan projek bekalan air bersih untuk masyarakat kurang mampu di Kampung Langkor, Sungai Siput Perak yang mana telah memanfaatkan kepakaran ahli akademik untuk kemudahan dan peningkatan taraf hidup masyarakat orang asli.

“Pendekatan sebegini membuka peluang pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) kerana APUCEN telah memberi laluan untuk universiti bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain di dalam Malaysia.

“Contohnya USM telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pelaksanaan  ‘USM Bebas Tembakau’ sejak beberapa tahun lalu,” ujar beliau ketika sidang media selepas melancarkan Buletin APUCEN dan menyampaikan sijil kepada 47 universiti yang hadir di Sidang Kemuncak APUCEN.

Menurut Naib Canselor USM yang juga Presiden APUCEN, Profesor Dato’ Dr Omar Osman, APUCEN diwujudkan pada tahun 2011 dengan pelantikan melalui pemilihan ahli majlis APUCEN 2011/2014.

IMG 4392

“Persidangan APUCEN adalah perjumpaan antara ahli-ahli rangkaian APUCEN yang mempunyai lebih kurang 30 ahli dari keseluruhan Asia Pasifik iaitu dari 18 buah negara dan diadakan setiap tiga tahun.

“Institusi-institusi yang hadir akan berbincang dan bertukar pendapat supaya dapat meningkatkan lagi kerjasama serta menjadikan universiti lebih relevan kepada masyarakat,” tambah Naib Canselor.

“Ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk meningkatkan kerjasama di antara universiti-universiti di seluruh rantau Asia Pasifik apabila 30 daripada 70 lebih buah universiti diwakili oleh pengurusan tertinggi termasuk Naib Canselor, Rektor dan juga Presiden.

220914-7

“Saya berharap pada masa akan datang mungkin jemaah menteri pendidikan di peringkat Asia Pasifik dapat memberi pengiktirafan kepada kita dalam rangkaian yang banyak melibatkan kerjasama berkonsepkan sukarelawan antara universiti-universiti,” ujar beliau.

Pada sidang kemuncak kali kedua ini yang diadakan selamat tiga hari, seramai 12 orang ahli baru telah dipilih untuk menjadi Ahli Majlis APUCEN 2014/2017 yang mana presidennya adalah tetap dari USM dan Naib Presiden dari Kyoto University of Foreign Studies, Jepun hasil pemilihan secara undian di kalangan semua peserta.

Pada majlis yang sama, USM turut bertukar dokumen Memorandum Persefahaman antara enam buah institusi daripada Malaysia dan luar negara iaitu KDU College (Penang) Sdn Bhd, Universiti Sains Islam Malaysia, Daffodil International University, I-Shou University, Navitas Professional Institute Pty. Ltd. dan juga J.F. Oberlin University.

220914-8

“USM juga berkolaborasi dengan institusi-institusi ini dalam konteks supaya dapat menjalin persefahaman untuk meningkatkan lagi penglibatan USM di peringkat Asia Pasifik secara khususnya dan antarabangsa amnya,” tambah Presiden APUCEN. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1296

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024