WUJUDKAN PUSAT PENYELIDIKAN MELAYU DI IPT TEMPATAN
PULAU PINANG, 23 September 2014 – Institut pengajian tinggi diseru untuk mewujudkan pusat penyelidikan melayu terhebat di Malaysia ke arah mencapai tamadun melayu yang boleh dibanggakan dan dijadikan pusat rujukan di negara kita.
Demikian ujar Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Warisan Patani dalam Sastera, Budaya dan Media yang dianjurkan oleh Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) ddan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beliau juga mengulas mengenai bahan-bahan percetakan yang sedia ada adalah hasil kajian bangsa asing dan bukannya hasil dari penulisan rakyat dan masyarakat tempatan.
“Kata Hang Tuah, “takkan melayu hilang di dunia”. Tiada salahnya pepatah berkenaan tapi kita harus sedar dan berfikir sejenak dan mencari di manakah kedudukan Melayu sebenarnya pada masa kini,” kata Rais.
“Seharian dalam hidup kita semua keperluan telah disediakan, tapi sedarkan kita bahawa kesemuanya di sediakan oleh orang-orang luar negara dan bukannya barangan tempatan. Contohnya, pakaian, kasut malah pen yang digunakan untuk kita mencari rezeki,” tambah beliau mengupas tentang orang Melayu dan orang Patani semasa menyampaikan ucaptama di persidangan tersebut.
“Oleh yang demikian, bangsa Melayu harus mengambil iktibar daripada media hari ini kerana budaya melayu memberi peluang kepada kita semua untuk bersatu semula namun harus mengurangkan politik serta meningkat budi,” ujar beliau.
Persidangan ini membawa tema “Melayu Patani Mendepani Cabaran Globalisasi” yang menfokuskan kepada subbidang penelitian seperti Bahasa, Sastera Lisan, Media Baru, Sejarah dan juga Politik.
Turut berucap di majlis perasmian ialah Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal mewakili Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan juga Pengerusi Persidangan Antarabangsa Warisan Patani dalam Sastera, Budaya dan Media Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar.
Menurut Ahmad Shukri, pada masa kini USM sedang giat menjalankan pelbagai usaha dan penyelidikan tentang media baru merangkumi laman sesawang, Facebook, Youtube, Blog, Instagram, Twitter dan sebagainya serta kuasa media baru dalam mempengaruhi warisan khasnya sastera dan budaya sesebuah masyarakat.
“Oleh yang demikian, persidangan ini dilihat sebagai salah satu cara dan peluang kerjasama yang baik dalam rangka pendokumentasian warisan Melayu-Patani dan cabaran yang dilalui oleh negara jiran di wilayah Selatan Thailand,” jelas beliau.
Hadir membentangkan kertas kerja ialah Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Fatoni Thailand, Profesor Madya Dr. Ahmad Omar Chapakia, Ketua Pengarah DBP Datuk Awang Sariyan dan turut hadir Dekan PPIK Profesor Madya Dr Hajar Abdul Rahim. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1065