PERSIDANGAN ANTARABANGSA WARISAN PATANI TONJOL KEUNIKAN SASTERA, BUDAYA DAN MEDIA
PULAU PINANG, 23 September 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dan Dewan Bahasa Pustaka telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Warisan Patani Dalam Sastera, Budaya dan Media yang bertemakan ‘Melayu Patani Mendepani Cabaran Globalisasi’ .
Pelajar jurusan Sastera tahun 4, PPIK Siti Nur Anida Alias berkata beliau pernah menyertai persidangan sebelum ini dan tetap teruja menyertai persidangan kali ini pula.
“Program ini adalah program ilmiah yang sangat menarik dan bagus kepada sesiapa yang ingin tahu keunikan yang ada pada sesebuah negara,” kata Siti.
“Antara yang menarik perhatian saya ialah pembentang dari Thailand yang memilih topik berkaitan bahasa dan identiti. Sebagai rakyat Malaysia kami rasa lebih dekat dengan mereka kerana mendapat pendedahan mengenai bahasa dan budaya mereka,” tambah Siti.
Siti juga tertarik dengan pembentang yang juga alumni USM dan kini berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah, Dr. Rosmah Derak dengan topik ‘Senjata Meriam Sebagai Lambang Kekuatan Kerajaan Melayu Patani dalam Filem Queens of Langkasuka.’
Salah seorang pembentang, Hasnida Samaun, pensyarah dari Universiti Rajabhat, Songkhla telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Bahasa dan Identiti: Struktur Penamaan Orang Melayu di Daerah Muang Wilayah Narathiwat’.
“Jika dilihat, saya memilih membuat kajian di Narathiwat sedangkan saya bekerja di Songkhla. Hal ini kerana saya dahulunya pernah menetap di sana,” katanya yang juga merupakan alumni USM dalam bidang Sarjana Sastera tahun 2008.
“Saya sudah mempunyai jaringan dengan USM dan sentiasa saling berhubung dengan alumni USM jadi ia lebih memudahkan saya untuk mendapatkan maklumat mengenai program ini,” tambahnya.
Antara cabaran yang dihadapi beliau sepanjang tiga tahun menjalankan kajian adalah seperti suasana keamanan dan kesukaran memperoleh maklumat yang lebih mendalam kerana tidak diberi kepercayaan.
“Keseluruhan persidangan ini bagus dan kehadiran peserta dari pelbagai negara boleh dipertingkatkan lagi kerana melihat pada yang hadir majoritinya dari Malaysia dan Thailand.” Suhaili Mohd Zaini / Foto: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1066