USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TUJUH RESOLUSI DICAPAI DALAM APUCEN SUMMIT 2014

230914-10

PULAU PINANG, 24 September 2014 – Sidang Kemuncak Kedua Rangkaian Libatsama Universiti-Komuniti Asia Pasifik (2nd APUCEN Summit 2014) yang berakhir kelmarin telah menggariskan tujuh resolusi yang disepakati oleh ahli-ahli Majlis APUCEN.

Tujuh resolusi ini adalah tambahan kepada 12 resolusi yang telah diluluskan dalam Sidang Kemuncak pertama APUCEN yang diadakan pada tahun 2011.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Presiden tetap APUCEN, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, ketika mengulas dan memperjelas resolusi berkenaan di majlis penutup di sebuah hotel di sini, menyeru agar APUCEN memanfaatkan sepenuhnya kearifan tempatan (local wisdom) dengan mengintegrasikannya dengan pengetahuan saintifik dalam libatsama komuniti.

230914-11

“Sudah sampai masanya untuk ahli-ahli APUCEN membina kearifan tempatan dalam kalangan sarjana tempatan dalam pelbagai bidang secara saintifik supaya segala dapatan dan penemuan dapat dikongsikan dengan komuniti setempat secara libatsama.

“Universiti-universiti di rantau Asia Pasifik juga perlu berganjak daripada paradigma menara gading ke menara ilmu dengan menggerakkan lebih banyak inisiatif atau program yang membolehkan ilmu pengetahuan dipindahkan dan dikongsi bersama dalam kalangan negara-negara ahli untuk manfaat komuniti tempatan demi memperbaik kualiti hidup mereka,” kata Omar.

Tambahnya lagi, yang paling penting ialah memastikan universiti kekal relevan sebagai agen transformasi untuk pembangunan komuniti dan negara.

230914-12

Menurut Presiden APUCEN itu juga, bagi menjayakan resolusi ini, pelbagai inisiatif dan program libatsama komuniti yang sesuai boleh diintegrasi dalam kurikulum akademik di peringkat universiti supaya ilmu pengetahuan yang dikumpul dan baharu diterokai oleh ahli akademik dapat disampaikan secara berkesan kepada mahasiswa dan seterusnya dipindahkan kepada masyarakat.

Secara ringkas, tujuh resolusi APUCEN Summit 2014 ialah:

1. Melibatsamakan sektor swasta (syarikat dan badan korporat) untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran mereka yang sedia ada. Ini termasuk menjemput syarikat dan badan-badan korporat yang mempunyai inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyertai APUCEN sebagai ahli korporat.

2. Mempromosi inisiatif-inisiatif libatsama komuniti secara atas talian.

3. Mengintegrasi libatsama komuniti dalam kurikulum akademik.

4. Mengintegrasi kearifan tempatan dengan pengetahuan saintifik dalam libatsama komuniti.

5. Mengutamakan pemindahan ilmu dan perkongsian ilmu dalam kalangan negara-negara ahli APUCEN.

6. Menggalakkan institusi pengajian tinggi untuk merancang dan melaksanakan perancangan kewangan untuk inisiatif-inisiatif libatsama komuniti.

7. Menggalakkan institusi pengajian tinggi untuk menerapkan inisiatif-inisiatif libatsama komuniti bagi pembangunan negara.

2nd APUCEN Summit 2014 telah dilangsungkan dengan jayanya selama 3 hari dari 21–23 September 2014 dan disertai oleh 72 peserta dari 18 negara anggota di seluruh rantau Asia Pasifik termasuk Naib Canselor, Rektor dan Presiden daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Bertemakan “Leadership in Transforming Community for a Better Tomorrow”, APUCEN Summit 2014 dianjurkan bersama oleh USM, DVV International (Jerman) dan Global Knowledge Initiative (Amerika Syarikat).

APUCEN yang dilancarkan pada tahun 2011 berperanan melibatsamakan institusi-institusi pengajian tinggi di rantau Asia-Pasifik untuk gerak bersama dan mempromosikan budaya libatsama universiti-komuniti secara proaktif.

Turut hadir di majlis penutup ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) yang juga Pengerusi Pengelola APUCEN Summit 2014, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey. Terdahulu sebelum itu beliau telah menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran APUCEN Summit kali ini.

- Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon & Mohd Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1065

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024