USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAYSIA-INDONESIA BEKERJASAMA PULIHARA ORANG UTAN

090914-20

PULAU PINANG, 23 September 2014 – Malaysia dan Indonesia akan meningkatkan lagi kerjasama dalam memulihara orang utan dan menjadikan projek ini sebagai projek ikonik yang terbaik di dunia sebagai pusat rujukan. 

Menurut Penyelidik Ekologi dan juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mashhor Mansor, jalinan kerjAsama seperti ini sangat diperlukan terutamanya dalam bidang sains kerana kurangnya kajian sains di Malaysia.

“Pada masa kini, kajian orang utan dijalankan oleh negara-negara yang tidak mempunyai orang utan dan kajian hanya dijalankan secara teori dan kurang asas dalam praktikal,” tambah Mashhor.

Beliau ditemui dalam satu sidang media selepas perkongsian pengalaman oleh pensyarah Fakultas Biologi, Universitas Nasional Indonesia, Dr. Sri Suci Utami Atmoko mengenai kajian beliau dalam spesies haiwan yang kian pupus tersebut.

“Dua jenis orang utan yang terdapat di Pulau Borneo dan Sumatera adalah Pongo pygmaeus dan Pongo abelii,” terang Sri Suci.

“Kesemua spesis ini diancam kepupusan oleh kerana pencemaran dan kerosakan habitat semulajadi hasil kerakusan manusia di sekelilingnya.

090914-21

“Di Indonesia, walaupun terdapat beberapa pusat rehabilitasi orang utan iaitu satu di Kalimantan Timur, dua di Kalimantan Tengah dan Barat serta satu lagi di Sumatera ianya tidak dapat memulihara perkembangan dan pembiakan spesis tersebut,” tambah beliau yang mendapat pendidikan formal mengenai spesis ini di Utrecht University, Belanda.

Sri Suci adalah pakar dalam primat dan perilaku orang utan dan beliau pernah menjawat jawatan penasihat saintifik di BBC Natural History Unit pada tahun 2007 hingga 2008.

“Saya berharap lebih ramai penyelidik menceburi bidang ini serta akan terus manjalankan penyelidikan  mengenainya untuk pengajaran dan pembelajaran pada masa hadapan,” ujar Sri Suci.

Terdahulu, Mashhor juga berharap pihak kerajaan membantu lebih ramai penyelidikan bidang biodiversiti berbanding bioteknologi yang telah pun berkembang dengan sangat pesat supaya bidang biodiversiti terpelihara dan terpulihara. Teks: Nor Rafizah Md Zain dan Suhaili Mohd Zaini / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 928

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024