USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERANGKA KERJA INOVASI PERLU DIBENTUK JAMIN KELANGSUNGAN

DSC 6591

KUALA LUMPUR, 23 Sept. 2014 – Kerangka kerja inovasi perlu diwujudkan di peringkat kebangsaan bagi menjamin kelangsungan usaha-usaha inovasi ke  arah transformasi perkhidmatan awam dan peningkatan kualiti penjawat awam di negara ini.

Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Musa Ali berkata, kerangka kerja itu penting untuk diwujudkan bagi menyelaras usaha-usaha inovasi di pelbagai institusi dan organisasi.

Katanya, usaha itu sekaligus membolehkan pembudayaan inovasi dalam setiap organisasi diletakkan dalam satu sistem yang kukuh dan berterusan, bukan sekadar hanya dibincangkan dalam seminar, bengkel dan sebagainya.

``Inovasi dalam perkhidmatan juga perlu dipertingkatkan dan dijadikan sebagai satu agenda nasional ke arah memberi latihan dan pembangunan organisasi dan modal insan secara lebih mapan dan sistematik.

``Kita juga melihat negara-negara maju di dunia turut menyediakan satu kerangka kerja inovasi bagi menyelaras transformasi dalam operasi mereka dan ia terbukti membawa impak yang cukup besar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan majlis penutup Seminar Inovasi Sektor Awam 2014 yang bertemakan Anjakan Inovasi ke arah Transformasi Perkhidmatan Sektor Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara di sini hari ini.

Musa hadir mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. Seminar tahunan itu dihadiri oleh lebih 300 peserta dalam kalangan penjawat awam di pelbagai agensi dan jabatan di negara ini.

DSC 6590

Beliau juga berkata, untuk menjayakan hasrat menjadikan perkhidmatan awam sebagai sebuah organisasi yang inovatif, kerangka kerja kebangsaan dan latihan serta pembangunan modal insan secara berterusan perlu dilaksanakan dengan komited.

``PIPPA juga secara bergandingan dengan INTAN akan menyediakan kursus-kursus bagi peningkatan prestasi dan pembangunan modal insan di pelbagai peringkat termasuk sijil, diploma dan sarjana untuk diikuti oleh penjawat awam dan sebagainya,’’ katanya.

Sementara itu, sejak ditubuhkan pada Oktober 2012, PIPPA USM berjaya menawarkan program pembangunan profesional kepada lebih 4,000 kakitangan sektor awam pelbagai peringkat di Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan kompetensi teras terutamanya dalam kalangan pengurus pertengahan (middle managers).

Pada masa yang sama PIPPA telah berjaya mengembangkan jaringan latihan kepada 10 organisasi antarabangsa. PIPPA juga giat menjalankan aktiviti penyelidikan dan penerbitan untuk dikongsi bersama penjawat awam di Malaysia terutamanya dalam bidang pentadbiran awam. Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1192

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024