USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANGUNKAN PROGRAM KHAS RAWAT PENAGIH DADAH

IMG 4763h

PULAU PINANG, 29 Sept.2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui satu kolaborasi dengan rakan pintar dari Yale School of Medicine (YSM), Amerika Syarikat bakal membangunkan program bantuan rawatan perubatan untuk masalah penagihan dadah.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, penyelidikan yang dimulakan pada tahun 2007 itu sedang rancak dibangunkan secara intensif oleh kedua-dua pihak melalui pelbagai medium.

Malah katanya, pada tahun 2012 USM dan YSM juga telah menubuhkan unit penyelidikan rawatan untuk penagih dadah di Hospital USM di Kubang Kerian dan sehingga kini telah berjaya memberi rawatan kepada lebih 100 penagih dadah.

``Pun begitu, lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan bagi menghasilkan kaedah rawatan mahupun ubat-ubatan yang berupaya menyelesaikan masalah ketagihan dalam kalangan pesakit.

``Kedua-dua pihak komited meneruskan kolaborasi bagi memahami permasalahan ini dengan lebih baik, sekaligus membangunkan strategi bagi menolong masyarakat yang dibelenggu masalah penyalahgunaan dadah,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bagi memperincikan kolaborasi USM dengan YSM yang telah menjangkau tempoh lapan tahun, termasuk dalam menjalankan kajian epidemiologi, latihan dan pendidikan kepada kumpulan sasaran.

Omar juga berkata, inisiatif kedua-dua pihak menubuhkan unit penyelidikan rawatan yang membolehkan penagih diberi rawatan khas menggunkaan Suboxone juga telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

`Suboxone adalah sejenis rawatan baru yang menggabungkan penggunaan ubat buprenorphine dan nalaxone, yang berpotensi digunakan untuk merawat penagih amphetamine type stimulant (ATS),’’ ujar beliau.

Tambahnya, penyalahgunaan dadah khususnya heroin dan ATS (gelaran kepada sekumpulan dadah jenis perangsang termasuk ice, syabu atau pil kuda) secara berterusan disifatkan sebagai gejala yang sangat membimbangkan sehingga membawa kepada kematian, kehancuran institusi kekeluargaan dan sebagainya di negara ini.

``Sehubungan dengan itu, USM melalui kolaborasi strategik seumpama ini komited membendung perkara ini dari terus merebak, menerokai dan menjalankan pelbagai usaha termasuk pendidikan, pencegahan dan juga rawatan perubatan,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Omar turut menzahirkan rasa gembira di atas pencapaian yang diterima penyelidik yang terlibat secara langsung dalam kerjasama berkenaan iaitu Profesor Madya Dr. Vicknasingam Balasingam Kasinather (USM) dan Prof. Madya Marek C. Chawarski.

Kedua-dua tokoh akademik itu diiktiraf oleh National Institute on Drug Abuse (NIDA) International Program Awards of Excellence berikutan kecemerlangan mereka dalam penyelidikan dan kerjasama antarabangsa dalam bidang berkaitan dadah dan ubat-ubatan.

Mereka juga telah banyak menjalankan kajian terhadap individu-individu yang terlibat dalam penyalahgunaan amphetamines and candu (opiates) di Malaysia. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1220

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024