EMPAT JUDUL BUKU TERBITAN USM TERBAIK MALAYSIA
PULAU PINANG, 29 September 201 4 – Empat judul buku terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf antara 50 judul terbaik Malaysia dan berprestij serta terpilih untuk menyertai Pesta Buku Frankfurt 2014 pada 8-12 Oktober ini.
Judul-judul tersebut adalah Keturunan Pemburu Pemungut Lanoh Terakhir di Malaysia oleh Hamid Mohd Isa, Koleksi Peribahasa China Terindah disusun oleh Goh Sang Seong, Tuhan, Manusia & Alam Dalam Al-Quran Pandangan Toshihiko Izutsu oleh Ahmad Sahibah Rahem dan Modern Mosques in Malaysia Between Regionalism and Electism oleh Wael A. Yousef Mousa.
"Pemilihan dan pengiktirafan ini diadili oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang merupakan badan profesional di peringkat kebangsaan. Ia merupakan satu lagi usaha MBKM untuk mempromosikan buku-buku Malaysia terbitan penerbit tempatan dan pemain industri di peringkat antarabangsa," ulas Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh mengenai pemilihan tersebut.
Di samping itu, Penerbit USM juga menceburi pasaran buku elektronik bagi penyebaran pengetahuan yang lebih progresif dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bagi memastikan pemasaran dan pengedaran yang lebih berkesan, Penebrit USM telah menjadi antara penerbit yang menyenaraikan buku-buku terbitan di Google Books dan eSentral yang mana antara medium terkenal untuk pembelian secara elektronik.
"Untuk kemudahan para pembaca, pembelian boleh dilakukan secara dalam talian iaitu melalui di laman sesawang https://www.esentral.com/ dan http://books.google.com.my/books ," tambah Akhiar.
Penerbit USM juga akan terus menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak aggregator lain seperti KOBO, Barnes & Noble, Overdrive and Trajectory bagi meningkatkan jumlah pembelian dan juga pembaca. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan Penerbit USM
- Created on .
- Hits: 1397