USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED BASMI TIKUS DALAM KAMPUS

 

P3

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 September 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) komited dalam membasmi masalah tikus di Kampus Kesihatan Kelantan.

Sejak isu ini menjadi berita hadapan akhbar pada tahun lalu, pelbagai tindakan telah diambil untuk mengatasinya termasuk melibatkan pelajar dan warga kampus lainnya secara berterusan di samping melibatkan pelbagai pakar dan pihak berkuasa tempatan untuk bersama-sama memainkan peranan yang sewajarnya bagi tujuan yang sama.

USM juga telah berbelanja kira-kira RM100,000 sejak tahun lalu untuk mengatasi masalah kebersihan termasuk isu-isu yang berkaitan dengan tikus di Kampus Kesihatan USM.

Menurut Pengerusi Bersama Jawatankuasa  Kampus Bersih Sejahtera Kampus Kesihatan USM,  Profesor  Dr.  Dinsuhaimi  Sidek, isu ini terus ditangani sebaik mungkin secara berterusan dan sudah banyak langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya.

P4i

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan itu juga berkata, isu ini perlu ditangani bersama-sama, termasuk oleh para pelajar.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang melaporkan aduan para pelajar terhadap masalah tikus yang dikatakan berkeliaran di kafetaria sebuah desasiswa di sini.

Laporan yang mengatakan ada kes keracunan disebabkan oleh tikus juga tidak benar kerana berdasarkan semakan di Hospital USM dan pusat-pusat kesihatan berhampiran tidak mempunyai laporan sedemikian dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini dalam kalangan pelajar USM.

"Adalah tidak wajar membuat tuduhan sedemikian kerana semakan dengan majlis penghuni desasiswa berkenaan juga tidak mempunyai rekod sedemikian kerana kes-kes individu sedemikian perlu juga dibuat pemeriksaan teliti kerana kemungkinan faktor-faktor lain sebagai puncanya," kata Dinsuhaimi.

P6l

Para pemberita kemudiannya dibawa melawat sendiri keadaan kebersihan di Kampus Kesihatan USM terutamanya di desasiswa yang berkenaan dan diberikan penerangan terhadap usaha-usaha serta tindakan yang telah diambil selama ini bagi menghadapi masalah tersebut.

"Kita mengharapkan kerjasama pelajar untuk turut memantau dan memaklumkan pihak universiti segera jika masalah berkenaan masih timbul dan mereka juga perlu menjaga kebersihan persekitaran termasuk dalam asrama dengan tidak membuang sampah sarap merata-rata serta mengikat dengan sewajarnya serta bersama-sama bergotong royong membersihkan kawasan kediaman mereka," kata Dinsuhaimi.

Kali terakhir diadakan gotong royong kebersihan sekitar desasiswa ialah pada 25 September lalu.

Pelbagai pihak di Kampus Kesihatan USM telah mengambil beberapa langkah susulan yang  bersepadu  dalam  menangani  isu  ini  seperti perjumpaan  secara  berkala  dengan  pihak pengurusan kafeteria  dan premis makanan  untuk  membincangkan  hal-hal yang bersabit  dengan premis  jualan mereka  dan  mengadakan gotong royong membersihkan sekitar kafeteria dari semasa ke semasa.

P7y

USM juga telah menutup lubang sekitar longkang yang menjadi tumpuan laluan tikus tersebut ke kawasan kafetaria selain memasang perangkap  tikus  secara  berstrategik  di  kawasan kafetaria dan kampus yang sering terdapat kesan  tompokan najis makhluk berkenaan selain meletakkan racun tikus di kawasan terbabit.

"Kita juga turut melibatkan pelbagai pihak yang berkaitan termasuk agensi-agensi kerajaan dan institusi pengajian yang berada di sekitar kampus bagi bersama-sama menangani masalah ini secara bersepadu kerana isu ini hanya dapat diatasi jika mendapat kerjasama semua pihak yang berkenaan," tambah Dinsuhaimi.

Pada pertengahan tahun ini, akhbar juga melaporkan tentang hal ini berdasarkan rungutan pelajar melalui media sosial termasuk memuatnaik video yang berkaitan.

USM telah pun mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk memantau aktiviti di kafetaria dan perbincangan berterusan dengan pengusaha untuk hadapi perkara ini di samping bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan yang berada di sekitar kampus.

Hadir dalam lawatan dan sidang media tersebut ialah Penggawa Desasiswa Nurani, Hj. Yusoff Abdullah; Ketua Penolong Pendaftar (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) yang juga  Pemangku Penggawa Dessiswa Murni, Hafiz Assad Zakaria; Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan USM Norazman Mahmood, serta beberapa orang pegawai dan wakil pelajar.​

 

- Teks: Mohamad bin Abdullah

 

  • Created on .
  • Hits: 1479

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024