TERENGGANU BANTU AKADEMIK DAN MAJUKAN USAHAWAN PELAJAR
PULAU PINANG, 28 September 2014 - Kerajaan Terengganu sangat mementingkan pencapaian mahasiswanya dalam akademik dan turut membantu untuk mereka memulakan perniagaan semasa di universiti lagi.
Menteri Besarnya, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa memberikan tumpuan yang besar kepada pencapaian akademik pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah serta kini sedang mengikuti perkembangan mahasiswanya yang berada di semua universiti tempatan dan luar negara.
Bercakap dalam pertemuan dengan para pemimpin Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) Universiti sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), beliau meminta agar PERMATA memainkan peranan yang sewajarnya dalam mengenal pasti mahasiswa yang menghadapi masalah pembelajaran mahu pun masalah-masalah lainnya bagi memastikan kecemerlangan mereka dapat terus dipertahankan.
"Mungkin selama ini kita kurang melihat perkembangan mahasiswa di universiti berbanding dengan sekolah, namun Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya melalui Yayasan Terengganu sentiasa memantau hal ini malah turut mewujudkan skim khas untuk melatih mereka yang mendapat kelas pertama di universiti dan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa dapat dihantar mengikuti pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah untuk kembali berkhidmat dengan kerajaan Terengganu sehingga ke peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri," kata Ahmad Razif.
Beliau turut menggesa mahasiswa untuk terlibat dengan keusahawanan semasa berada di universiti.
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu akan memberikan modal dan membayar mereka yang menjalankan aktiviti keusahawanan di universiti untuk setiap kumpulan tidak melebihi empat orang dengan syarat mereka turut menjual barangan berasal dari Terengganu.
"Kita sedia melatih mereka dengan matlamat akhirnya memberikan pinjaman tanpa faedah untuk perniagaan yang dapat mencapai sasaran dalam jangka panjang," jelas Ahmad Razif.
Menteri Besar Terengganu itu juga menjelaskan, hal ini adalah selari dengan program Transformasi Terengganu Baharu yang sedang berjalan dengan berfokuskan kepada usaha membangunkan anak-anak muda untuk meneruskan legasi pembangunan negeri Terengganu pada masa hadapan.
Menjelaskan mengapa beliau memulakan perjumpaan dengan mahasiswa Terengganu di USM, Ahmad Razif berkata, "ini adalah penghormatan saya kepada kedua-dua Menteri Besar terdahulu yang mengikuti pengajian di USM kerana saya sentiasa berpegang kepada yang lama dihormati, yang muda disantuni."
Mohd Razif turut menyertai beberapa permainan sukan dan menyampaikan hadiah acara-acara yang diadakan sempena Hari keluarga PERMATA Zon Utara Bersama Menteri Besar Terengganu yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang mahasiswa Terengganu dari keempat-empat universiti awam USM, UUM, UniMAP dan UPSI.
Hadir sama ialah isteri Menteri Besar, Toh Puan Halina Zakaria, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Ketua Penolong Pengarah (Tajaan/Pendidikan) Yayasan Terengganu Dr. Hashim Azmi Haji Che' Noh, Penasihat PERMATA USM Profesor Madya Dr. Haji Wan Rozali Haji Wan Husin, Yang Dipertua PERMATA USM Aidil Khairil Mazlan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Terengganu. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 1305