USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ADIKARMA USM IKON TERBAIK ZAPIN NUSANTARA 2014

untitled 4l

PULAU PINANG, 30 September 2014 – Kumpulan Kesenian Adikarma (Adikarma), Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) Universiti Sains Malaysia (USM) muncul Ikon Terbaik Pilihan Juri bagi pertandingan Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014 yang telah diadakan di AEON AU2 Setiawangsa di sini minggu lalu.

Adikarma adalah wakil tunggal Zon Utara selepas memenangi Siri Jelajah Akar Kita Zapin Nusantara di peringkat Zon Utara dan berentap dengan 10 kumpulan di peringkat kebangsaan termasuk Kumpulan Kebudayaan Wirama D’Tari Johor Bahru, Badan Budaya Perbadanan Labuan Wilayah Persekutuan Labuan dan Kumpulan Penjan Kaseh Kampung Budaya Sarawak, Sarawak serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan dan juga Universiti Putra Malaysia.

“Pihak BHEPP berasa amat bersyukur dan gembira dengan pencapaian Adikarma dan kemenangan ini telah meletakkan satu penanda aras bahawa kumpulan kebudayaan yang mewakili universiti awam mampu bersaing dengan kumpulan kebudayaan profesional di peringkat kebangsaan,” ujar Pegawai Kebudayaan BHEPP merangkap kareografer, Muhamad Al Hafiz Md Sani.

untitled 5

“Adikarma membawa pulang sebuah trofi, sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM 1,500.00. Penganugerahan kepada Adikarma ini ditentukan atas bakat, komitmen dan disiplin terbaik yang telah ditunjukkan oleh kumpulan sepanjang program ini berlangsung,” tambah Muhamad Al Hafiz.

Pertandingan Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014 ini terbahagi kepada dua segmen iaitu persembahan dan permainan tingkah zapin atau dikenali sebagai ‘battle’.

“Walaupun Adikarma hanya menduduki tempat kelima dalam segmen persembahan, saya bersyukur kerana pasukan kami dipilih sebagai ikon pilihan juri professional,” kata salah seorang penari yang juga pelajar tahun tiga jurusan Sains Fizik, Nadhir Rusli Badaruddin mewakili lapan penari lain.

untitled 3f

untitled 2g

Senarai penari-penari lain adalah seperti berikut:-

                                                1. Jerry Yacob (Ilmu Pendidikan, tahun 2)

                                                2. Abdul Fattah Abd Jalil (Sains Kemasyarakatan, tahun 3)

                                                3. Muhamad Firdaus Zulkifli (Sains Fizik, tahun 3)

                                               4.Amirul Hakim Samri (Perumahan,Bangunan&Perancangan, tahun 2)                                  

                                                5. Hasbullah Hashim (Ilmu Pendidikan, tahun 4)

                                                6. ‘Adzam Anuar (Sarjana Sains Kemasyarakatan)

                                                7. Nik Mohamad Syazne Nik Ezanee (Sains Kemasyarakatan, tahun 3)

                                                8. Muhammad Shakif Shahruddin (Ilmu Kemanusiaan, tahun 3)

Program tersebut adalah anjuran Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Anugerah bagi peringkat kebangsaan telah disampaikan oleh Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto Sumbangan: Muhamad Al Hafiz Md Sani.

 

  • Created on .
  • Hits: 1548

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024