USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESTA TANGLUNG DISAMBUT HEBAT

270914-10

IMG 5080

PULAU PINANG, 28 September 2014 - Sekali lagi, Pesta Tanglung USM 2014 anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan meriah sekali dan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan bukan sahaja daripada warga kampus malah masyarakat luar kampus.

Lebih 1,000 orang mengunjungi dan turut meraikan sambutan Pesta Tanglung USM 2014 yang diadakan untuk kali keduanya di dalam kampus dengan tema “Diverseo Night of Moonlight”.

270914-11

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey hadir mewakili Naib Canselor USM untuk merasmikan majlis sambutan Pesta tersebut yang merupakan salah satu aktiviti tahunan SKKT yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang ramai terhadap kebudayaan masyarakat Cina.

Beliau dalam ucapannya berkata, Pesta Tanglung ini bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman terhadap kebudayaan dan tradisi masyarakat Cina, tetapi ia juga dapat memupuk semangat integrasi dan memelihara perpaduan yang kita nikmati selama ini sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

270914-12

“Kerana itu, USM melalui Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, sentiasa menyokong penuh dan menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti persatuan sebegini, yang turut memberi peluang kepada mahasiswa menimba pelbagai pengetahuan dan mendapat pengajaran yang bernilai dalam proses penganjuran majlis sebesar ini.

“Pendek kata, USM ingin melahirkan graduan yang holistik, serba boleh dan cemerlang dalam akademik, ko-kurikulum, persatuan, kesukarelawanan serta prihatin kepada komuniti atau masyarakat sekeliling,” kata See.

270914-13

Tambah See lagi, walaupun tarikh sebenar perayaan Pesta Tanglung sudah berlalu, namun semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli SKKT USM untuk menganjur dan meraikan sambutan tersebut bersama dengan warga kampus dan juga luar kampus begitu menyemarakkan.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua pihak penaja tempatan yang bermurah hati memberi sumbangan dan sokongan yang berterusan dalam menjayakan acara pada malam itu.

270914-14

Untuk menarik lebih ramai pengunjung, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dari Tahun 1 hingga Tahun 3, pertandingan membuat tanglung daripada bahan semulajadi bagi kategori sekolah menengah dan juga pertandingan fotografi kategori terbuka (pusingan akhir) turut diadakan.

Majlis pada malam itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu istimewa dari Vientiane, Lao PDR iaitu Professor Dr. Heribert Hinzen (Regional Director for South and Southeast Asia, DVV International) dan isteri beliau, yang begitu tertarik dengan persembahan kebudayaan, muzik dan tarian tradisional Cina, Acapella, tarian wayang kulit, seni mempertahankan diri seperti wushu dan taekwondo serta nyanyian kanak-kanak.

270914-15

Hadir bersama ialah suami See, Dr. Sam Teng Wah; Pengerusi SKKT, Ooi Chin Teck; Pengarah Projek Pesta Tanglung 2014, Kuah Kok Ern dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2013/2014, Mohamad Shafiq bin Kamaruddin

IMG 5109

Pesta Tanglung, juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Perayaan Kuih Bulan, secara tradisi menandakan berakhirnya musim menuai. Orang Cina Malaysia meraikan pesta ini dengan berkumpul di rumah bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan orang kesayangan sambil menjamu kuih bulan sementara kanak-kanak berarak di sekeliling kampung atau kawasan perumahan membawa tanglung kertas. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1869

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024