MENTERI LANTIK SEMULA NAIB CANSELOR DAN TNC (AKADEMIK) USM
PULAU PINANG, 29 September 2014 - Kementerian Pendidikan Malaysia menyambung jawatan tugas Profesor Dato' Dr. Omar Osman, 56, sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua tahun lagi mulai 28 September 2014.
"Selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12 (1) Perlembagaan USM, saya melantik semula Profesor Dato' Dr. Omar Osman sebagai Naib Canselor USM," kata Menteri Pendidikan Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin dalam suratnya bertarikh 26 September 2014.
Omar memulakan tugas sebagai Naib Canselor pada 27 September 2011 menggantikan Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Menteri Pendidikan turut mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan mengharapkan agar Omar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.
Sementara itu, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, 55, turut disambung perkhidmatannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) selama dua tahun bermula 15 September lalu. Beliau mula menjawat jawatan tersebut pada tahun 2007.
"Saya bersyukur dengan kepercayaan ini dan menzahirkan rasa amat terharu dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan kerajaan termasuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta semua yang memberikan amanah ini untuk dipikul dengan sebaik mungkin," kata Omar mengulas tentang hal ini.
Ahmad Shukri pula berkata, beliau hargai kepercayaan yang diberi dan akan berusaha keras dalam membantu bersama-sama melonjakkan lagi kecemerlangan universiti pada masa hadapan.
Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1427