LIM CHEE WEI TUAI EMAS MALAYSIA DI SUKAN ASIA
INCHEON, KOREA SELATAN, 2 Oktober 2014 – Mahasiswa kebanggaan Universiti Sains Malaysia (USM), Lim Chee Wei hari ini kembali menceriakan kem Malaysia apabila menyumbangkan satu lagi pingat emas melalui acara sukan karate, dalam kategori ‘kata’.
Tentangan sengit yang dijelmakan peserta Indonesia, Fidelys Lolobua dalam perlawanan akhir tidak sedikit pun mengundang rasa gerun Chee Wei apabila berjaya mengenepikan cabaran lawannya dengan keputusan 3-2.
“Saya amat teruja dapat beraksi kali pertama di Sukan Asia, dan sememangnya telah bertekad untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pingat kepada negara,” ujar atlet berusia 23 tahun ini.
Tambah pemuda kelahiran Pulau Mutiara ini lagi, kilauan emas yang dituainya merupakan satu kejutan yang amat berharga dan akan dikenang sepanjang kariernya.
“Kemenangan ini akan menguatkan lagi azam dan menaikkan semangat saya untuk terus berbakti kepada tanah air tercinta,” katanya yang juga mendedikasikan kejayaannya ini kepada keluarga dan jurulatihnya.
Laluan Chee Wei dalam kejohanan ini dimulakan dengan mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama, sebelum menumpaskan peserta Nepal, Ram Bastolai Parshu pada suku akhir dan peserta Jepun, Issei Shimbaba menjadi mangsa pada peringkat separuh akhir.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan buat saya dan pasukan, serta setinggi-tinggi penghargaan kepada menara ilmu kebanggaan saya, Universiti Sains Malaysia yang sentiasa menyokong pembabitan dan memberikan galakan dan perangsang di kala saya menang atau kalah.”
Untuk rekod, pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dalam jurusan Kesusasteraan Bahasa Inggeris ini juga merupakan pemenang dua pingat emas pada Kejohanan Sukan SEA yang berlangsung di Myanmar pada tahun 2013 yang lalu.
Teks : Mahadzer Mokhtar/Mohamad Danial Shahri Foto : Pusat Sukan USM
- Created on .
- Hits: 1586