KOLABORASI USM DAN UNIVERSITÄT LEIPZIG DIPERKUKUH MELALUI MOA
PULAU PINANG, 2 Oktober 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) melebarkan lagi jaringan hubungan antarabangsanya melalui memorandum perjanjian (MoA) kolaborasi akademik dengan Universität Leipzig dari negara Jerman.
Melalui perjanjian selama tiga tahun itu, secara dasarnya, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM dan Fakulti Pendidikan Universität Leipzig bersetuju untuk bekerjasama dalam inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan kedua-dua institusi termasuk dalam pembangunan bidang akademik, pertukaran staf dan pelajar, penyelidikan, permohonan geran penyelidikan dan pembangunan kurikulum.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang hadir bagi menandatangani MoA itu bagi pihak USM berkata, kolaborasi ini dilihat dapat menyumbang kepada usaha pengantarabangsaan USM melalui pembangunan program-program pendidikan merentas disiplin/bidang dan juga merentas sempadan antarabangsa.
“Selain itu, pengantarabangsaan bidang penyelidikan juga dapat dilaksanakan melalui penganjuran dan penyertaan seminar dan persidangan antarabangsa, pembentangan kertas-kertas penyelidikan, penjanaan penerbitan kertas ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi serta pelbagai aktiviti penyelidikan melalui kolaborasi antarabangsa,” kata Omar dalam ucapan alu-aluannya.
Katanya lagi, beliau amat berharap kolaborasi ini tidak terhad kepada bidang pendidikan sahaja tetapi juga kepada bidang-bidang lain seperti inovasi, pertukaran ilmu dan kebudayaan masyarakat Jerman dan Malaysia.
Sementara itu, Universität Leipzig diwakili oleh Timbalan Dekan Fakulti Pendidikannya, Profesor Dr. Anatoli Rakhkochkine.
Menurut beliau, MoA itu menyediakan satu asas yang formal dan kukuh untuk kolaborasi lestari antara USM dan Universität Leipzig, dan pihaknya berasa bangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan USM, universiti APEX yang pertama di Malaysia.
“Saya yakin dengan kepakaran yang dimiliki USM khususnya dalam kalangan tenaga pengajar dan penyelidik PPIP, dan juga ahli-ahli fakultinya, kolaborasi ini akan menguntungkan kedua-dua pihak malah negara Jerman dan Malaysia dalam jangka panjang,” kata Rakhkochkine.
MoA berkenaan juga diharap dapat menggerakkan projek khas bertajuk "Pupils' Diversity and Success in Science Education in Germany and Malaysia: A Question of Religion, Gender and Talent” yang akan dijayakan bersama oleh penyelidik PPIP USM dan Fakulti Pendidikan, Universität Leipzig.
Projek tersebut turut melihat amalan terbaik kedua-dua negara dalam membangunkan sistem pendidikan di negara masing-masing dari aspek agama, gender dan bakat pelajar-pelajarnya.
Penandatanganan MoA itu diadakan bersempena rangka lawatan ahli fakulti dan pelajar ijazah lanjutan Fakulti Pendidikan, Universität Leipzig ke USM selama hampir 2 minggu untuk memahami lebih lanjut tentang sistem pendidikan Malaysia dan kepelbagaian kebudayaan Malaysia.
Turut hadir ialah Dekan PPIP USM Profesor Dato’ Abdul Rashid Mohamed, ahli fakulti dan pelajar ijazah tinggi PPIP dan juga Fakulti Pendidikan, Universität Leipzig. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1230