SENTIASA BERKORBAN DENGAN IKHLAS
PROFESOR DATO' DR. OMAR OSMAN
Naib Canselor
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga Universiti Sains Malaysia (USM). Marilah kita bersama-sama menyambutnya dalam semangat perpaduan, persaudaraan dan saling memaafkan, saling memahami dan semangat pengorbanan yang tulus ikhlas untuk agama, bangsa, tanah air dan dunia seluruhnya.
Kita perlu terus menyemai dan mengukuhkan nilai pengorbanan seperti yang ditunjukkan dalam sejarah pengorbanan Nabi dan Rasul untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t dalam memastikan apa yang kita lakukan sentiasa diterima-Nya melalui nilai keikhlasan seseorang dalam melakukan ibadah tersebut.
Bagi kita di USM, pengorbanan amat besar maknanya. Pengorbanan adalah satu daripada 9 teras Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) sebagai nilai-nilai bersama yang perlu kita junjung dan lakukan dalam menjayakan amanah yang kita pikul ini. Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas untuk mendapat rahmat dan pertolongan-Nya sebagai satu ibadah dalam memartabatkan syiar agama sekaligus membangunkan ummah dalam menghadapi cabaran yang ada pada masa ini dan masa hadapan.
Universiti ini adalah amanah besar yang perlu kita sedari dengan segala urusan dan tanggungjawabnya dalam memartabatkan pengajian tinggi, menggunakan seluruh ilmu pengetahuan dan pemikiran serta kekuatan seluruh warga yang ada secara inklusif membangunkan tamadun untuk kelestarian masa hadapan ummah.
Bagi menjayakannya, pengorbanan menjadi satu teras yang harus kita terapkan secara berterusan, kesanggupan untuk mengorbankan masa, tenaga dan apa sahaja yang boleh dalam memastikan hasrat yang kita bina bersama dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Kesanggupan itu mestilah datangnya dari hati nurani dan qalbu kita atas keyakinan terhadap misi dan nilai-nilai yang kita bangunkan bersama-sama demi sayang kita kepada organisasi dan tanah air ini.
Hari Raya Aidil Adha perlu kita sambut dalam membuat muhasabah diri, membina kekuatan yang ada dan menggembleng setiap sumber dengan sebaik mungkin untuk bergerak ke hadapan. Pada masa yang sama, kita sentiasa berikrar dan menanamkan komitmen yang berterusan berteraskan kesanggupan mengorbankan apa yang sahaja dalam keupayaan kita dengan tulus ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t demi menjayakan niat murni ini.
Selamat Hari Raya Aidil Adha, semoga kita semua diberikan kekuatan, keberkatan, kerahmatan serta kesejahteraan dalam apa jua yang kita lakukan.
Saya Sayang USM.
Sekian, terima kasih.
- Created on .
- Hits: 1193