IMPAK RU: LIMA IPT JANA PENDAPATAN
JOHOR BAHRU, 3 Okt. 2014 – Inisiatif kerajaan memperkenalkan universiti penyelidikan sejak 2006 memperlihatkan kesan positif apabila kelima-lima RU tersebut berjaya menjana pendapatan sehingga RM3.6 billion melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Universiti berkenaan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kebanyakan RU kini sekurang-kurangnya meraih pendapatan melalui R&D masing-masing, ada diantaranya mencecah sehingga berpuluh-puluh juta.
Katanya, penyelidik di negara ini telah menghasilkan pelbagai penemuan termasuk penyelidikan yang dapat memberi kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara ini, selain meningkatkan pengkomersialan produk-produk tempatan.
``Ini adalah kisah-kisah kejayaan yang kita ingin masyarakat tahu. Saintis di negara ini telah berjaya menghasilkan sejumlah 1,153 produk penyelidikan dengan 1,650 harta intelek dan 77 syarikat juga telah tertubuh.
``Kita jangkakan setelah negara mencapai wawasan 2020, sekurang-kurangnya 80 syarikat dapat ditubuhkan setiap tahun,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Media Event Showcasing Research Universities’ Succes Siries 4: Commercialization Wealth Creation through R&D di UTM, di sini semalam.
``Kita juga lihat universiti di negara ini menjadi bertambah baik dan banyak peningkatan dapat dilihat khususnya dalam kedudukan ranking dunia. Dalam tempoh dua tahun akan datang kita jangkakan universiti kita juga mampu menjadi antara 100 terbaik.
``Usaha memperkasakan dan mentransformasikan universiti sememangnya satu perkara yang memakan masa. RU adalah contoh terbaik yang mana peningkatan telah ditunjukkan dari masa ke semasa dan kita akan pastikan ia berkekalan,’’ ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, USM juga telah mula menunjukkan kecemerlangan memacu inovasi dan sehingga kini universiti kedua tertua negara itu telah mencatat penjanaan pendapatan kasar berjumlah RM98 juta melalui beberapa cabang utama yang berkait rapat dengan R&D.
Selain pencapaian RU, sebagai universiti pertama menggalas amanah dalam Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX), USM juga telah menghasilkan sejumlah 406 produk R&D dan daripada jumlah itu, 58 produk telah berjaya dibangunkan sehingga ke tahap pengkomersialan.
Untuk rekod, dari tahun 2006 hingga 2014 pula, USM juga telah meraih 505 anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk 75 peratus daripada jumlah tersebut mendapat pengiktirafan medal emas dalam pertandingan-pertandingan yang disertai di dalam mahupun luar negara.
USM yang memberi penumpuan kepada penyelidikan yang berupaya menyelesaikan masalah sosio ekonomi golongan masyarakat terkebawah juga telah meraih pelbagai anugerah khas dari seluruh dunia berdasarkan kelestarian, jaringan komuniti dan keusahawanan. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1386