KEKURANGAN SAYA ADALAH KELEBIHAN SAYA – OOI MEI LEE
PULAU PINANG, 8 Oktober 2014 – Sapaan lembut ‘Universiti Sains Malaysia, sedia membantu’ adalah ayat keramat yang acapkali diungkapkannya, tidak kira betapa penatnya dalam menjalani tugas seharian.
Dalam ribuan pencari rezeki di bumi USM yang bertuah ini, Ooi Mei Lee merupakan antara insan teristimewa yang pastinya ada terpahat dalam setiap hati penghuni yang pernah menabur bakti.
Istimewanya Mei Lee adalah kerana dia merupakan antara warga kelainan upaya yang telah bertahan hampir 33 tahun lamanya.
Dilahirkan tanpa penglihatan sempurna hampir 50 tahun yang lalu, Mei Lee menjadikan ‘kekurangan’ itu sebagai ‘kelebihan’ buat dirinya.
“Memang saya tidak dapat melihat alam indah ini dengan mata yang celik, namun, kelebihan merasakan sesuatu dengan mata hati sebenarnya jauh lebih indah, lebih bermakna buat saya,” ujarnya memulakan bicara.
“Tiada istilah rendah diri mengenai kekurangan ini, kerana saya percaya setiap daripada kita dijadikan Tuhan atas sebab yang kukuh, biarpun antara kita ada pegangan agama yang berbeza.”
Bertugas sebagai Operator Telefon sejak mula menjejakkan kaki di USM pada tanggal 1 April 1981, Mei Lee menjadikan kerjaya itu sebahagian dari rencah hidupnya yang berwarna warni.
“Tugas sebagai penyambut talian sebenarnya bukanlah mudah, kerana kita perlu melengkapi diri dengan pelbagai informasi terkini mengenai Universiti.”
“Biarpun hanya berbicara melalui telefon, pegawai khidmat pelanggan juga merupakan antara tulang belakang Universiti, terutamanya dalam menyampaikan mesej terawal kepada pemanggil, tentang segala maklumat yang diperlukan.”
“Dari situ, imej dan kredibiliti Universiti dapat ditingkatkan, selari dengan moto USM, Kami Memimpin.”
Mengimbau sedikit tentang kisah suka duka di Universiti, Mei Lee menyatakan antara peristiwa manis yang akan dikenangnya ialah beliau mengenali dan dikenali oleh hampir seluruh warga kampus.
“Masakan tidak, semua panggilan masuk dan keluar akan disambut oleh saya dan rakan-rakan terlebih dahulu dan disebabkan itulah ramai yang mengenali saya sehingga kini,” tambahnya yang mengakui ada rasa juga terpalit sedikit kenangan sedih sepanjang perkhidmatan.
“Tapi yang sedih itu biarlah saya telan, kerana jika dibanding dengan yang manis, boleh hilang segala rasa pahit itu.”
Wanita cekal kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang ini menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St.Nicholas sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Ayer Panas, Kuala Lumpur, dibawah program pengajian bersepadu.
“Walaupun belajar di sekolah yang dikelilingi insan-insan normal, mereka sedikitpun tidak memandang rendah ataupun mengenepikan saya. Malah saya sentiasa diajak untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti bersukan dan berpersatuan.”
“Tetapi saya lebih cenderung kepada hobi membaca, kerana saya tahu, insan seperti saya perlu berusaha lebih gigih dari yang lain, bagi memastikan saya tidak ketinggalan jauh dari segi pendidikan.”
Sebaik tamat pengajian sekolah menengah, Mei Lee mengambil inisiatif untuk menjalani latihan intensif selama enam bulan di Pusat Latihan Gurney, Brickfields, Kuala Lumpur.
“Kami diajar dengan lebih mendalam tentang kegunaan mesin Braille, cara menggunakan papan suis utama yang pada ketika itu merupakan alat komunikasi terpenting bagi golongan kami.”
“Syukur saya dapat mempelajari dan mempraktikkan semua yang diajar dengan cepat dan berkesan.”
Mei Lee juga menambah, seiring dengan kemajuan teknologi komunikasi yang pesat melanda, membuatkan dia juga teruja untuk mencuba pelbagai teknologi sedia ada.
“Saya merupakan pengguna setia telefon bimbit jenama Nokia satu ketika dulu, sebelum beralih menggunakan jenama Apple kini,” ujarnya yang menggunakan segala aplikasi yang ada melalui sistem ‘voice over’ yang dibangunkan di setiap telefon bimbit.
“Kedua-dua anak lelaki saya juga banyak membantu saya dalam menguruskan hal-hal sedemikian, termasuk memberitahu saya tentang aplikasi terbaru yang ada di pasaran, yang mana membolehkan saya berkomunikasi dengan lebih berkesan.”
Anak lelaki sulung Mei Lee kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Kemasyarakatan di USM, dan yang kedua masih bersekolah dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul.
Mei Lee, yang merupakan anak kedua dari enam orang adik beradik ini, juga bersyukur segala urusan peribadi mahupun hariannya sentiasa dipermudahkan oleh orang-orang disekelilingnya.
“Adik saya, Ooi Hock Tian yang bertugas di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan juga banyak membantu saya sepanjang kami di USM, walaupun kami senasib,” katanya.
Ditanya tentang nasihat yang boleh dikongsi, mahupun ilmu yang boleh dipelajari, Mei Lee hanya menitipkan kata-kata berikut :
“Tiada yang sempurna melainkan kita menerima diri kita seadanya. Tidak dapat melihat dunia dengan mata kasar, pandanglah ia dengan kelembutan yang ada dalam hati.”
“Jangan jadikan kekurangan kita sebagai alasan untuk bergantung harap kepada orang lain. Jadikanlah ia sebagai kekuatan kerana dari situ kita akan peroleh kejayaan yang sukar ditafsir dengan perkataan.”
Teks : Mohamad Danial Shahri / Suhaili Mohd Zaini Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1839