USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MARTABATKAN ILMU KEARIFAN TEMPATAN

 

DSC 7618

KUCHING, SARAWAK, 12 Oktober 2014 – Ilmu daripada pelbagai bidang kearifan tempatan yang berasal daripada sesuatu masyarakat setempat perlu dikenalpasti, dikaji, dikembangkan malah disinergi untuk menghasilkan ilmu dalam bentuk baru yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat berkenaan.

Demikian kata Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) merangkap Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi Sarawak), Datuk Dr. Stephen Rundi Anak Utom  menyempurnakan perasmian Persidangan Serantau Kearifan Tempatan Ke-4 (Fourth Regional Conference on Local Knowledge 2014 - RCLK4) di sini hari ini. 

"Kearifan tempatan perlu diberi nafas baru dan disusur galur untuk menghasilkan ilmu dan amalan yang lebih kontemporari yang dapat dikongsi bersama demi mentransformasikan kehidupan sesuatu masyarakat setempat khususnya dari segi ekonomi dan sosial.  

DSC 7669

"Justeru itu, saya amat berbangga dengan usaha gigih Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah bagi menjadi peneraju untuk memartabatkan ilmu kearifan tempatan masyarakat rumpun Melayu dari pelbagai etnik di Malaysia termasuk komuniti pribumi di Sarawak," katanya. 

Tambah beliau lagi, terdapat begitu banyak kearifan tempatan yang sedia ada misalnya di negeri Sarawak terdapat  kepelbagaian dari 27 suku kaum pribuminya yang masing-masing kaya dengan warisan kearifan tempatannya yang tersendiri. 

"Pihak kerajaan negeri Sarawak akan menyokong usaha murni USM ini, dan berharap Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan bekerjasama dengan USM untuk menonjolkan pelbagai  khazanah kearifan tempatan suku kaum pribumi yang terdapat di Sarawak yang masih belum banyak diterokai dan diketengahkan untuk pengetahuan masyarakat di Malaysia dan juga di luar negara," ujarnya.  

Pada masa yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyifatkan kerjasama antara USM dan UNIMAS dalam memperkukuh dan memperkasakan ilmu kearifan tempatan untuk kegunaan generasi akan datang itu sebagai langkah USM menjunjung konsep kelestarian di samping memantapkan usaha melebarkan jaringannya dalam kearifan tempatan.

DSC 7474

"Dalam rangka kerjasama ini, USM akan menyumbang kepakaran penyelidikan dan pendokumentasian manakala UNIMAS akan membantu dalam penyediaan repositori kearifan tempatan dalam konteks masyarakat setempat.

"Saya percaya hasilnya pasti dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat selain memupuk kelestarian ilmu masyarakat tempatan yang sangat tinggi nilainya agar tidak hilang ditelan zaman," kata Omar dalam ucapan alu-aluannya.  

Terdahulu itu, Pengerusi Kumpulan Kearifan Tempatan USM, Profesor Dr. Badaruddin Mohamed memberi penerangan ringkas tentang latar belakang dan aktiviti Kumpulan Kearifan Tempatan USM sejak ia ditubuhkan pada tahun 2010. 

"Tiga persidangan sebelum ini yang diadakan dengan jayanya di Langkawi (2011), Pulau Pinang (2012) dan Kuala Terengganu (2013) telah menghasilkan 13 buah buku. Dijangka sebanyak 9 buah buku lagi akan diterbitkan menjelang awal tahun 2015 sebagai usaha mendokumentasikan hasil penyelidkan yang dijalankan.

"Perubahan tempat persidangan di beberapa lokasi hinggalah menyeberang lautan luas ke Kuching, Sarawak ini bertujuan untuk memasyarakatkan ilmu kearifan tempatan ini supaya dapat melibatkan kelompok masyarakat yang lebih ramai lagi," kata Badaruddin. 

DSC 7681

Bertemakan "Sinergi, Kelestarian dan Dinamisme," RCLK kali keempat ini dianjurkan bersama oleh USM dan UNIMAS, dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki Cawangan Negeri Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan sokongan Kerajaan Negeri Sarawak, Sarawak Convention Bureau dan Sarawak Cultural Village.

Persidangan dua hari itu disertai oleh lebih 140 peserta termasuk peserta dari negara jiran, Indonesia dan juga Nigeria dan Uganda melibatkan pembentangan 130 kertas kerja oleh para ilmuwan dan penuntut ijazah sarjana dari institusi pengajian tinggi dalam negara termasuk 2 ucaptama dan 6 wacana.

Hadir bersama dalam majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UNIMAS mewakili Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim; Pengerusi RCLK4 Dr. Norizan Esa; Pengerusi bersama RCLK4 Dr. Norazura Norahim; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Negeri Sarawak Dr. Hazami Jahari; Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak Dr. Shahri Abdul Rahman; Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap penyampai ucaptama Profesor Emeritus Dato' Dr. Hood Mohd Salleh; dan Presiden Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) merangkap penyampai ucaptama Dato' Muhammad Najib Ahmad Dawa.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar​

  • Created on .
  • Hits: 1626

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024