USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM GABUNG PAKAR KEARIFAN TEMPATAN ASEAN

DSC 7717

KUCHING, SARAWAK, 12 Oktober 2014 –  Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan inisiatif untuk memperkasakan penyelidikan dan jaringan kerjasama dalam bidang Kearifan Tempatan melalui ASEAN Local Knowledge Network (ALKN).

Inisiatif ini berusaha menggabungkan kepakaran penyelidik bidang kearifan tempatan di rantau negara ASEAN bertujuan mencari pendekatan holistik keunikan ilmu, adat, budaya dan nilai masyarakat untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata melalui ALKN, penyelidik-penyelidik di rantau negara ASEAN dapat berkongsi kepakaran mengkaji kepelbagian nilai kearifan tempatan yang dimiliki termasuk kekayaan adat dan budaya yang masih dipraktik oleh masyarakat Melayu di sekitar rantau ASEAN.

Menurut beliau, sudah tiba masanya cendiakawan di negara-negara ASEAN duduk semeja berbincang dan mencari inisiatif bagi menyatukan ilmu, adat, budaya dan amalan turun temurun yang dipraktik oleh masyarakat dari dahulu hingga sekarang untuk digembleng bersama bidang akademik.

"Melalui penyatuan nilai kearifan tempatan yang masih kekal diamalkan masyarakat selari dengan nilai akademik, ia mampu membawa perubahan dalam pelbagai bidang seterusnya diketengahkan di persada dunia dengan keunikan apa yang kita miliki."

Bercakap pada perjumpaan dua hala bersama penyelidik-penyelidik dari Malaysia dan Indonesia, Omar yang juga Penaung Persidangan Serantau Kearifan Tempatan 2014 berkata beliau berharap ALKN mampu menjadi sumber utama rujukan dan jaringan negara ASEAN bagi meningkatkan nilai kearifan tempatan yang dimiliki di rantau ini.

"Kita ingin melihat ALKN menjadi platform untuk universiti-universiti dari rantau ASEAN menyalurkan pelbagai input untuk diselidiki selari dengan dunia akademik melalui penganjuran persidangan, bengkel, seminar dan sebagainya."

Tambah beliau lagi Persidangan Serantau Kearifan Tempatan yang dilaksanakan oleh USM sejak empat tahun lalu banyak membuka mata negara-negara luar yang telah memberi kerjasama bagi menjayakan persidangan ini.

Hadir bersama di sesi perjumpaan dua  hala tersebut adalah Dato'  Muhammad Najib Dawa, Presiden Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang, Prof. Ir. Dr. Zulkifli Nasution, Timbalan Rektor, Universitas Sumatera Utara, Indonesia dan Profesor-Profesor dari USM, UNIMAS, UMK, UKM, UPSI dan Universitas Islam Negeri Arranery Banda Acheh, Indonesia.

Selain itu beliau juga berharap melalui ALKN ia mampu membina repositori kearifan tempatan sehingga mampu menerbitkan pelbagai rujukan ilmiah berkenaan amalan terbaik dalam kearifan tempatan.

Melalui sesi tersebut, peluang diambil oleh hampir 15 orang Profesor-Profesor bagi menyuarakan pelbagai sudut pandangan positif bagi menjayakan penubuhan ALKN ini.

"Kita mahukan masyarakat-masyarakat kampung yang pakar dalam kearifan tempatan seperti perubatan, pakar hasil hutan dan lain-lain contohnya yang tidak pernah diketengahkan, mampu dibawa duduk berbincang dan bekerjasama bagi membantu mereka membawa amalan tersebut ke arah yang lebih berimpak tinggi buat negara secara keseluruhannya," ujar beliau.

Kata Omar lagi, USM telah membina beberapa jaringan komuniti ASEAN untuk perkongsian ilmu dan kepakaran seperti APUCEN, SEASN, GHEN DAN RSEN, kini tiba masanya ALKN ditubuh bagi menambah kekuatan pembangunan ilmu dan penyelidikan memfokuskan kearifan tempatan.

Persidangan Serantau Kearifan Tempatan 2014 kali ini diadakan di Kuching, Sarawak bertemakan 'Sinergi – Kelestarian – Dinamisme', dianjurkan bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Persidangan kali ini melibatkan lebih 140 orang peserta daripada beberapa buah negara antaranya Indonesia, Nigeria dan Uganda dengan melibatkan sebanyak 130 pembentangan kertas kerja.

Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1125

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024