USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HASIL PENYELIDIKAN PERLU DILIHAT SECARA HOLISTIK

PULAU PINANG, 14 Oktober 2014 – Hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) seharusnya dilihat dalam perspektif lebih holistik meliputi tiga aspek utama iaitu tanda aras, ekosistem dan jurang yang mungkin wujud dalam usaha institusi pengajian tinggi (IPT) menampilkan kualiti R&D bertaraf dunia.

Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkata, tanda aras yang digunakan perlu jelas dan menyeluruh kerana isu pengkomersialan bukan sekadar melihat kepada produk semata-mata.

Katanya, pentafsiran data juga perlu dilihat melalui satu tanda aras yang kukuh dan jika mahu menampilkan laporan melalui peratusan, seseorang itu perlu jelas dengan dasar yang diambil dalam melakukan pentafsiran.

“Hal ini juga perlu dilihat dengan jelas kerana bukan semua penyelidikan seharusnya tampil dengan produk akhir. Ada produk penyelidikan yang dibangunkan membantu menambah baik sesuatu proses dalam satu sistem.

“Dalam membincangkan hal ini juga, kita perlu berbalik kepada fungsi asas IPT iaitu mendidik modal insan yang dapat memacu kecemerlangan dan ekonomi negara. Ini juga dikira satu pelaburan yang tidak dapat dinilai melalui produk,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual khas bagi membincangkan hala tuju R&D IPT di sini hari ini.

Muhamad juga berkata, kesemua proses termasuk pelaburan dalam bidang penyelidikan adalah berkait rapat dengan asas kepada wujudnya IPT iaitu melahirkan modal insan. Justeru jika ada pendapat yang mengatakan kita hanya menjalankan kajian-kajian yang berunsurkan ‘syok sendiri’ adalahh tidak tepat sama sekali.

Tambah beliau, banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum kita merumuskan bahawa penyelidikan oleh para penyelidik di negara ini hanya syok sendiri, termasuk dalam melihat pulangan dari segi wang ringgit (ROI) terhadap R&D yang dibangunkan.

Dalam konteks Malaysia misalnya, pelaburan yang diperuntukkan terhadap penyelidikan memfokuskan kepada aspek fundemental dan bila bercakap soal fundemental ia berkait rapat dengan usaha kita untuk membangunkan bidang ilmu itu sendiri.

“Sebagai contoh jika kita membangunkan satu kajian pada hari ini, impaknya mungkin tidak boleh dilihat pada hari esok, mungkin mengambil masa sehingga berpuluh tahun untuk berdiri kukuh. Justeru ROI tidak boleh dilihat dalam masa singkat.

“Contoh jelas boleh dilihat dalam penganugerahan hadiah nobel kepada tokoh-tokoh yang menyandang anugerah tersebut. Hanya selepas berpuluh tahun mereka mengerah keringat baru ianya dapat dilihat dengan jelas dan kukuh,’’ katanya yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM.

Beliau menegaskan, purata R&D yang dikomersialkan di universiti terkemuka dunia juga berada di sekitar 3 hingga 4 peratus berbanding rekacipta yang dibangunkan, menunjukkan jurangnya tidak jauh dari Malaysia yang telah mula menampakkan peningkatan memberangsangkan kebelakangan ini.

“Pencapaian tahap pengkomersialan sebanyak dua peratus daripada jumlah penyelidikan yang dihasilkan menunjukkan satu angka yang baik jika mengambil kira purata usia dan pengalaman universiti di negara ini.

“Mengambil kira Amerika Syarikat sebagai contoh, mereka membelanjakan sekurang-kurangnya USD4 juta untuk menghasilkan satu paten, bandingkan pula dengan prestasi universiti kita yang rata-ratanya belum mencapai usia 50 tahun,’’ katanya.

Muhamad juga berkata, selain itu kita juga perlu lihat pada ekosistem pengajian tinggi di negara ini yang mana wujud jurang di antara IPT dan industri yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

“Universiti menghasilkan prototaip dan industri pula mengeluarkan produk akhir. Namun di antara kedua-dua pihak tersebut ada jurang dalam menjalankan proses peningkatan skala yang perlu dilihat sebagai antara faktor yang perlu dipertingkatkan untuk menjamin produk R&D IPT boleh dikomersialkan.

“Penyelidikan yang dihasilkan di makmal belum tentu dapat dihasilkan dalam skala besar. Kebanyakan pihak industri juga tidak berminat untuk melakukan proses peningkatan skala ini kerana mereka berorientasikan keuntungan dan produk akhir,’’ katanya.

Selain itu, ada juga geran-geran yang diterima digunakan ke arah penyelidikan yang tidak menghasilkan produk sebagai matlamat utama, sebaliknya berperanan dalam menambahbaik dan meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1087

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024