ALAT JIMAT MINYAK MAMPU BERI KELEGAAN
PULAU PINANG, 15 Oktober 2014 – Isu pengurangan subsidi petrol sehingga menyebabkan harga seliter petrol meningkat kepada RM2.30 berbanding RM2.10 seliter mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Namun, dengan inovasi yang dihasilkan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), ia berupaya memberi sedikit kelegaan kepada masyarakat kerana terbukti dapat membantu menjimatkan penggunaan bahan bakar sehingga 40 peratus dari penggunaan biasa.
Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr. Soib Taib dari Puast Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM berkata, inovasinya yang dikenali sebagai Fuel Capacitor atau alat penjimat minyak itu sangat praktikal untuk dipasang pada kenderaan pengguna.
Katanya, konsep yang digunapakai pada alat berkenaan amat mudah iaitu dengan mengubahsuai sistem pengaliran udara dalam enjin yang berupaya membantu mengurangkan penggunaan bahan bakar, sekaligus menambahkan penggunaan kilometer per liter petrol.
``Jika kita lihat adakalanya asap yang dikeluarkan oleh kenderaan akan menjadi warna hitam. Ia disebabkan bahan yang kita semburkan pada enjin tidak terbakar dengan sempurna.
``Justeru, saya merekabentuk fuel capacitor ini bagi menghasilkan sistem pembakaran yang lebih efisien dan mampu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 46 peratus, dalam masa yang sama turut mengurangkan pengeluaran karbon dioksida,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas memperkenalkan produk tersebut di sini hari ini. Sidang media itu dipengerusikan oleh Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan di sini hari ini.
Tambah beliau, kajian yang dijalankan terhadap beberapa jenis kenderaan termasuk kenderaan nasional Proton Wira yang telah mencapai batuan sehingga 210000 km berupaya mencatat penambahan sehingga 18.5 kilometer per liter, daripada anggaran normal 14 kilometer per liter tanpa menggunakan fuel capacitor.
Soib juga berkata, ujian pada kenderaan agak baru pula menunjukkan peningkatan sehingga 23 km/liter petrol.
``Dengan alat ini, pengguna berupaya menambah perjalanan dalam jarak 4 hingga 8 km untuk setiap liter petrol dan ia adalah satu penjimatan yang cukup efisien dan membantu pengguna untuk berjimat,’’ katanya.
Dalam pada itu, Muhamad pula berkata, inovasi berkonsepkan teknologi hijau itu selaras dengan agenda universiti khususnya dalam aspek kelestarian dan menghasilkan inovasi yang berupaya memperkasa golongan terkebawah.
Lebih menarik katanya, rekacipta itu turut boleh digunakan pada sebarang jenis enjin kereta, baik yang baru mahupun kereta lama.
``Kita turut berharap inovasi seumpama ini dapat diambil oleh rakan-rakan industri bagi menghasilkan produk akhir secara besar-besaran. Produk ini memberi manfaat yang cukup besar baik kepada pengguna mahupun alam sekitar,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1673