USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INTEGRITI DALAM PENGURUSAN TATATERTIB PELAJAR

141014-1

PULAU PINANG, 15 Oktober 2014 – Pengurusan tertinggi Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu melaksanakan pengurusan tatatertib pelajar dengan penuh integriti serta mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Perkara ini adalah tunjang kepada setiap langkah yang diambil untuk melaksanakan setiap undang-undang dan juga bagi menjatuhkan hukuman kepada pelajar.

“Selain integriti yang tinggi, semua IPT perlu meningkatkan kolaborasi antara satu sama lain bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan pengurusan tatatertib pelajar mengikut punca kuasa yang diberikan oleh perundangan,” demikian kata Pengerusi Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-universiti Malaysia (MATDUM) Profesor Dato’ Dr Yusserie Zainuddin.

141014-2

Beliau menyatakan hal ini ketika membuat pergulungan hasil daripada Seminar Tatatertib Pelajar dan Intergriti anjuran bersama MATDUM dan juga Universiti Sains Malaysia (USM).  

“Hasil daripada seminar ini akan dibentangkan di kalangan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (TNC HEPP) semua IPT dan saya berharap satu sistem, prosedur kerja serta peraturan dapat diwujudkan dan digunapakai oleh semua IPT,” tambah Yusserie yang juga TNC HEPP Universiti Malaysia Pahang (UMP).

IMG 6386

“Saya berharap pelaksanaan dispilin pelajar dapat dikendalikan secara menang-menang di antara pelajar dan juga pihak pelaksana undang-undang IPT,” ujar TNC HEPP USM, Profesor Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor USM bagi merasmikan majlis penutup seminar tersebut.

“Seminar sebegini dapat meningkatkan ilmu para pelaksana serta bertepatan bagi menjadikan hal ehwal tatatertib dilaksana dengan penuh integriti,” tambah Adnan.

Seminar tiga hari ini telah mengumpulkan lebih 90 orang pegawai tertinggi IPT dalam kalangan penasihat undang-undang, pegawai HEPP dan juga pegawai keselamatan.

141014-3

IMG 6615

Turut hadir sebagai ahli panel forum bersama TNC HEPP USM dan UMP ialah TNC Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan juga Penasihat Undang-undang Universiti Teknologi MARA, Profesor Emeritus Datuk Dr Hj Shad Saleem Faruqi membincangkan tajuk Kesalahan-kesalahan Lazim dan Isu-Isu Berkaitan Tatatertib Pelajar –Aspek Perundangan, Akademik Dan Bukan Akademik.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Penasihat Undang-undang USM, Khairul Anuar Che Azmi dan hangat membincangkan isu pemakaian purdah dikalangan para pelajar tempatan dan juga antarabangsa serta cabaran-cabaran dalam mengendalikan penguatkuasaan di IPT. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1727

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024