USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGURUSAN MANUSIA KUNCI KELANGSUNGAN ORGANISASI

161014-1

PULAU PINANG, 17 Okt. 2014 – Aspek pengurusan manusia adalah salah satu faktor penting yang perlu diberi keutamaan bagi mencetuskan kecintaan, kesetiaan, kelangsungan dan persekitaran yang kondusif dalam setiap organisasi.

Demikian kata Pengerusi Air Asia X, Tan Sri Rafidah Aziz ketika berucap di hadapan kira-kira 400 warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) sempena 7th USM CEO Talk Siries yang diadakan di sini semalam.

Syarahan tokoh pemimpin yang turut pernah mengerah keringat dalam memacu pembangunan negara itu berkisar kepada tema “Managing Strategically in Dynamic and Challenging Environment”, selaras dengan cabaran semasa yang menuntut keperluan terhadap kepimpinan strategik yang mampu menggembleng organisasi walau berdepan pelbagai kekangan  khususnya sumber yang terhad

Rafidah berkata, dalam setiap organisasi manusia memainkan peranan yang amat penting untuk menjayakan operasi organisasi dan pengurusan terhadap aspek penting itu perlu diberi perhatian menyeluruh.

161014-2

``Setiap organisasi perlu mengikuti perkembangan semasa dan memahami corak pemikiran dan tingkahlaku pekerja khususnya generasi muda yang telah terdedah kepada kemajuan teknologi dan digital.

``Budaya mencipta inovasi di tempat kerja juga perlu dipertingkatkan supaya dapat menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan organisasi, selain memudahkan serta memendekkan sesuatu proses kerja,’’ ujar beliau.

Rafidah juga menjelaskan, majikan perlu tahu strategi bagi menangani masalah pekerja hilang minat, motivasi menurun, beralih tempat kerja dan sebagainya, yang disifatkannya sangat mudah berlaku khususnya dalam kalangan pekerja sektor swasta.

``Mendepani pekerja dalam kalangan generasi Y atau Z adalah berbeza pendekatannya dengan generasi zaman sebelumnya. Hanya dengan memahami keperluan dan perkembangan semasa barulah kita dapat mewujudkan persekitaran kerja yang baik.

``Begitu juga halnya jika ingin mengembangkan organisasi ke luar negara misalnya. Kita kena faham pasaran di negara-negara dan sosio-budaya masyarakat di situ, barulah boleh survive kerana ia sama sekali berbeza dengan di negara kita,’ katanya.

IMG 6767

Rafidah yang kini telah menjangkau usia 71 tahun turut berkongsi pandangan mengenai keupayaannya mentadbir sebuah organisasi besar bertaraf global.

Beliau berkata:``Saya suka dengan apa yang saya lakukan. Minat yang mendalam perlu ada untuk kita melaksanakan sesuatu tugas kerana hanya dengan minat urusan atau pekerjaan dapat dilakukan dengan baik dan cemerlang.

``Saya juga amat mementingkan pembahagian masa. Walau sesibuk mana pun, seseorang itu perlu tahu memberi keutamaan dalam bidang tugas bagi menjamin kualiti masa dapat dioptimumkan dan dalam masa yang sama keluarga tidak pula diabaikan.

Turut hadir ke majlis syarahan itu ialah Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dato’ See Ching Mey, TNC Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pendaftar, Siti Zubaidah A. Hamid.

Dalam pada itu, CEO-Talk Series anjuran bersama USM melalui BJIM, Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, bertindak sebagai platform untuk ketua-ketua pegawai eksekutif sektor awam mahupun swasta berkongsi pengalaman dalam kepimpinan, selain memberi pandangan terhadap halatuju sesebuah organisasi, perniagaan mahupun ekonomi global. teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1173

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024