USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA SAHABAT KONGSI KEGEMBIRAAN TERIMA ANUGERAH

161014-11

PULAU PINANG, 17 Okt. 2014 – Dua pensyarah wanita yang juga sahabat karib dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Dr. Aziah Ismail dan Dr. Nor Shafrin Ahmad terkejut dan teruja apabila masing-masing diktiraf cemerlang sebagai Pendidik Harapan dan Pendidik Kategori Pengajaran dan Penyeliaan.

Aziah yang berasal dari Pontian Johor berkata, beliau terkejut ketika namanya diumumkan namun tetap bersyukur dan menganggap ia adalah kejayaan di luar jangkaan.

``Saya bersyukur keranan dapat bergelar sebagai pendidik dan menggalas amanah yang cukup besar untuk melahirkan golongan pendidik muda yang dapat memacu kecemerlangan pendidikan negara.

``Kejayaan ini saya jadikan sebagai penyuntik semangat untuk terus memberikan khidmat bakti kepada Universiti, khususnya PPIP dan dorongan untuk menjadi lebih cemerlang di masa depan,’’ katanya.

Aziah yang mempunyai kepakaran dalam Dasar Perancangan dan Pengurusan Pendidikan adalah alumni PPIP USM, sebelum memperoleh ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Rakan baiknya, Nor Shafrin yang berasal dari Butterworth turut menzahirkan kegembiraan meraih anugerah Pendidik Kategori Pengajaran dan Penyeliaan dan sama sekali tidak menyangka beliau terpilih.

IMG 6503

Pun begitu kata lulusan Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu, ia adalah antara pengalaman manis yang diterima dan berharap akan terus dapat memberikan khidmat terbaik kepada Universiti serta anak didiknya di PPIP.

Kegembiraan dua pensyarah itu turut dikongsi bersama warga PPIP yang lain sempena sambutan Hari Guru Peringkat PPIP di sini baru-baru ini. Hadir ke program yang menjadi medan meraikan insan bergelar pendidik itu ialah Dekan PPIP, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed.

Abdul Rashid dalam ucapannya berkata,  dunia pendidikan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak kerana tulang belakang dalam pemerkasaan pembangunan negara dijana melalui keberkesanan sistem pendidikan.

``Sejarah membuktikan bahawa kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan rakyatnya dan orang yang berperanan besar mewujudkan kegemilangan tersebut ialah guru atau pendidik.

``Pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat kepada guru sebagai kerjaya yang mulia lagi dihormati masih tinggi dan releven sehingga kini,’’ katanya.

Dalam pada itu, turut menerima anugerah pada majlis tersebut ialah para pelajar PPIP yang cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif 3.50 ke atas, anugerah Tokoh Guru Harapan 2014 (Au Lim Peng), Penghargaan Perkhidmatan (Mohd. Nizam Sukhairi, Faridah Bharum, Lenny Azliffa Abdul Aziz.)

Anugerah khas pula disandang oleh Rosnani Bakar, Pendidik Kategori Penyelidikan dan Penerbitan (Low Hui Min) dan Pendidik Kategori Jaringan Industri dan Masyarakat, Dr. Najeemah Yusof.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1677

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024