USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMILIHAN MPP USM BERJALAN LANCAR

171014-10

PULAU PINANG, 17 Oktober 2014 – Proses pemilihan Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2014/2015 hari ini berjalan lancar dalam keadaan aman dan tenteram.

Menurut Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan, proses pemilihan tahun ini adalah menggunakan sistem e-kiraan buat kali kedua dan semuanya berjalan lancar serta keputusan diperolehi dalam masa yang lebih singkat berbanding tahun lalu.

“Pelajar USM lebih matang dalam menjalankan tanggungjawab pada kali ini dan saya berharap keadaan dan suasana seperti ini akan dikekalkan pada masa hadapan,” ujar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr Adnan Hussein ketika menyampaikan amanat kepada semua ahli MPP yang baru.

“Saya berharap semua ahli MPP yang dipilih memenuhi manifesto yang telah dijanjikan kepada semua pelajar serta memberikan kerjasama dengan pihak USM.

171014-11

“Pengurusan USM akan membantu serta memberikan sepenuh sokongan kepada MPP baru,” tambah Adnan.

Pada sidang ini sebanyak 45 kerusi dipertandingkan dan 19 kerusi menang tanpa bertanding iaitu 11 di Kampus Induk, 7 di Kampus Kesihatan dan 1 di Kampus Kejuruteraan. Kampus Kesihatan menyaksikan 100 peratus kerusi dipertandingkan menang tanpa bertanding dan tiada pengundian dilakukan.

Seramai 12207 orang pelajar atau 63.67 peratus keluar menjalankan tanggungjawab bagi kedua-dua buah kampus. Namun begitu, peratusan mengundi di Kampus Induk hanyalah 57.44 peratus berbanding Kampus Kejuruteraan 91.17 peratus.

Yang Dipertua MPP sidang 2013/2014, Mohamad Shafiq Kamaruddin yang bertanding buat kali kedua mendapat undian tertinggi bagi konstituensi umum Kampus Induk iaitu sebanyak 3713 undi.

“Sesungguhnya saya amat terkejut kerana tidak sangka menang buat kali kedua dan gembira kerana mendapat undian tertinggi,” ujar Mohamad Shafiq ketika dihubungi.

IMG 6820

Apabila ditanya mengenai manifesto, beliau menyatakan bahawa akan membantu USM untuk memaju kecemerlangan serta bekerjasama dengan Unit Perumahan dan Penginapan Universiti bagi memantau harga makanan di kafetaria desasiswa supaya tiada peningkatan harga demi kebajikan kepada pelajar.

Bagi Mazni Mohd Zuki yang juga terpilih buat kali kedua dengan undian sebanyak 2921, manifesto beliau adalah untuk memastikan wang pinjaman dan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam diterima oleh para pelajar pada masa yang dijanjikan tanpa ada sebarang kesilapan dan kesalahan.

“Pada sidang yang lalu, saya dilantik sebagai Bendahari MPP.

“Saya dikemukakan dengan masalah sebegini, sehingga kini masalah ini belum selesai dan saya berharap pada sidang ini berkesempatan untuk meneruskan aspirasi supaya dapat membantu mereka yang terlibat,” kata Mazni, pelajar tahun tiga jurusan Kesusasteraan. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1495

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024