USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANUGERAH UEM BERI SINAR BUAT AZURA ABD RAHMAN

20141021 112519

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2014 – Bakal siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Azura Abd Rahman mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai salah seorang daripada penerima “Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM” 2014.

Kesusahan dan kesederhanaan hidup tidak menjadi halangan kepada anak seorang buruh ladang itu untuk cemerlang dalam pengajian sekaligus melayakkannya menerima anugerah tersebut.

Berbekalkan CGPA 3.53 dengan projek bertajuk "Portable Lightweight Water Sampler for Various Water Bodies", Azura berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000.00 beserta sijil.

20141021 112743

Projek ini juga telah menggondol dua Pingat Emas iaitu di International Engineering Invention & Innovation Exhibition (I-ENVEX2014) UNIMAP dan Novel Research & Innovation Competition (NRIC2014) serta Anugerah Khas untuk Creativity Award di pertandingan yang sama.

Beliau yang ditemui turut terharu dengan kehadiran wakil USM dan memaklumkan bahawa beliau telah menerima tawaran untuk menjadi “UEM Young Engineers Programme (YEP)”.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang menerima anugerah daripada UEM Group Berhad ini walaupun terpaksa melalui cabaran dan dugaan dalam menyediakan projek akhir yang baik serta perlu bersaing dengan pelajar Pusat Pengajian lain di Kampus Kejuruteraan yang juga tidak kurang hebatnya,'' katanya.

20141021 113008

“Hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada USM yang telah banyak membantu dalam mencapai kejayaan ini terutamanya kepada kedua-dua penyelia saya iaitu Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dan En. Ali Huddin Ibrahim,” tambahnya.

“Tanpa bantuan dan peluang yang diberikan oleh USM, mana mungkin saya layak menerima anugerah daripada UEM ini," kata anak kelahiran Kampung Paya Rambutan, Kuantan, Pahang.

Anak kelapan daripada sembilan beradik ini berkata tidak ada jalan mudah untuk berjaya tidak lain dan tidak bukan kita perlu belajar bersungguh-sungguh serta mempunyai kemahuan yang tinggi untuk berjaya.

20141021 113058

Anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun lalu itu turut dimenangi oleh pelajar dari UKM, UM, UPM, UTM dan UiTM.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi UEM Group Berhad, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali di Mercu UEM, Kuala Lumpur Sentral.

Menurut Ahmad Tajuddin, mahasiswa perlu lebih bersyukur dengan kemudahan yang canggih dan sempurna berbanding satu ketika dahulu.

Tambahnya, mahasiswa tidak seharusnya berhenti mencari ilmu malah perlu meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal yang ditemui dalam majlis tersebut mengucapkan tahniah kepada Azura di atas kejayaan beliau menerima anugerah tersebut.

20141021 113356

“Bagi pihak Naib Canselor USM, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UEM Group Berhad di atas anugerah ini dan kita amat berbangga dengan kejayaan yang diperolehi oleh alumni ini yang akan menerima ijazahnya pada konvokesyen bulan November nanti,” kata Ahmad Shukri.

“Kita berharap agar pelajar dan pensyarah dapat merancang aktiviti lebih awal dan mungkin boleh melayari laman web UEM untuk mengetahui bidang atau perniagaan yang dijalankan supaya projek yang dibentang pada tahun hadapan adalah relevan dan sesuai dengan kehendak anugerah tersebut malahan dapat membantu dalam pembangunan negara,” tambahnya lagi.

Hadir sama Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah UEM, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah serta wakil universiti penerima anugerah.

Teks & Foto: Mohd Kamil Ashar

  • Created on .
  • Hits: 1216

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024