PESTA BOLA JARING USM TETAP GEMILANG DAN MERIAH SELEPAS 24 TAHUN
PULAU PINANG, 21 Oktober 2014 - Kejayaan Pesta Bola Jaring Universiti Sains Malaysia (USM)-Antarabangsa Pulau Pinang kali ke-24 (PBJ24) yang menutup tirai Ahad lalu sekali lagi membuktikan kemampuan USM untuk menganjur kejohanan sukan yang begitu besar dan berprestij pada peringkat antarabangsa.
Sejak pesta ini diadakan pertama kalinya pada tahun 1991, ia telah menjadi semakin popular dan dikenali ramai sebagai kejohanan bola jaring berbentuk pesta yang terulung bukan sahaja di negara kita malah di rantau Asia Pasifik, sekaligus menaikkan nama USM di persada antarabangsa.
Dalam ucapan penutupnya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, beliau berbangga dengan pencapaian Pesta Bola Jaring selama ini seperti yang dapat dilihat daripada bilangan penyertaan pasukan-pasukan dari dalam dan luar negara yang begitu memberangsangkan setiap tahun.
“Walaupun Pesta Bola Jaring ini telah berusia 24 tahun, namun kegemilangannya masih mampu dikekalkan dan kemeriahannya terus dirasai dan dinanti setiap tahun.
“Malah ia pernah diiktiraf sebagai pertandingan bola jaring yang mempunyai penyertaan terbanyak di Malaysia sebanyak empat kali oleh The Malaysia Book of Records.
“Ia turut menyerlahkan kehebatan dan keupayaan pelajar wanita USM dalam bidang sukan dan juga pengelolaan kerana kejohanan ini merupakan satu-satunya kejohanan sukan Universiti yang dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar wanita,” kata Adnan yang hadir mewakili Naib Canselor USM di majlis penutup dan penyampaian hadiah PBJ24 di Stadium Olahraga USM.
Tambah beliau, keupayaan pelajar di dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia ini harus diberi pujian dan saya mengambil maklum akan peranan semua pihak yang telah membantu di dalam membimbing pelajar-pelajar ini.
Menurut Adnan lagi, matlamat utama penganjuran acara ini bukan hanya untuk menggalakkan penyertaan ramai untuk bersaing secara sihat di atas padang, sebaliknya turut menjadi medan yang baik untuk menerapkan budaya bersukan demi meningkatkan mutu sukan bola jaring negara.
“Kita dapat melihat semangat kesukanan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua pasukan dan ia membuktikan pesta ini sememangnya menjadi platform berkesan bagi pemain-pemain muda mengasah dan mengetengahkan bakat mereka,’’ ujar Adnan.
Turut hadir di majlis tersebut bagi menyampaikan hadiah ialah Penasihat Kehormat PBJ24 dan isteri Naib Canselor USM, Datin Noraizan Jamaludin; Pengurus Acara Nestle Products Sdn. Bhd. selaku penaja utama PBJ24, Mohd Hanif Haji Harun; Dekan Fakulti Sains Sukan, National University of Laos, Profesor Madya Dr. Athithoutay Chatouphonexay; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhammad Mohd Hanif dan Pengerusi Sekretariat PBJ24, Rozaine Palah.
Sementara itu, ketika ditemui, Muhammad Mohd Hanif berkata, USM akan memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan kualiti pertandingan tersebut dengan menarik lebih banyak penyertaan daripada pasukan antarabangsa.
“Sri Lanka dan Thailand telah menghantar pasukan-pasukannya untuk menyertai PBJ24 ini, dan saya berharap untuk tahun hadapan, kita akan berjaya menarik penyertaan lebih banyak pasukan luar negara termasuk dari Singapura, Brunei, Australia dan beberapa lagi negara di rantau Asia Pasfik.
“Lebih-lebih lagi pada tahun hadapan Pesta Bola Jaring USM-Antarabangsa Pulau Pinang akan menyambut ulangtahunnya yang ke-25, dan acara ini diharap dapat dijalankan di dalam dewan tertutup apabila Kompleks Sukan USM-Azman Hashim yang dalam pembinaan dijangka siap pada pertengahan tahun 2015,” katanya.
PBJ24 yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan penyertaan lebih 145 buah pasukan dari dalam dan luar negara berentap dalam sembilan kategori iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun, Bawah 18 Tahun, USM Lelaki, USM Wanita, IPT Lelaki, IPT Wanita, Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita.
Johan setiap kategori membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai, Piala Pusingan, Piala Iringan, pingat dan hadiah tajaan Nestle Products Sdn. Bhd.
Dalam perlawanan akhir Terbuka Wanita yang turut disaksikan oleh para kenamaan, pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari Selangor berjaya menewaskan pasukan Hanelang A dari Terengganu dengan jaringan 12-9.
Keputusan keseluruhan PBJ24:
Bawah 12 Tahun
Johan: Putrajaya A; Naib Johan: Team U3 (Selangor); Fairplay: Putrajaya A; Pemain Terbaik: Nur Anis Syafika bt. Shahidan (Putrajaya A)
Bawah 15 Tahun
Johan: PST Junior (Kuala Lumpur); Naib Johan: G-Rians Warrior (Perak); Fairplay: PST Junior; Pemain Terbaik: Noor Diyanah bt Noor Sabadinee (PST Junior)
Bawah 18 Tahun
Johan: Dream Team (Kuala Lumpur); Naib Johan: MBPJ Adidas (Selangor); Fairplay: MBPJ Adidas; Pemain Terbaik: Mimiasira bt Kurnadi (Dream Team)
USM Lelaki
Johan: USM Dihatiku (Kampus Kesihatan); Naib Johan: Ku Pujuk Hatimu (Kampus Induk); Fairplay: USM Dihatiku; Pemain Terbaik: Muhammad Arif b. Adam (USM Dihatiku)
USM Wanita
Johan: USM KK A (Kampus Kesihatan); Naib Johan: USM Minden (Kampus Induk); Fairplay: USM Minden; Pemain Terbaik: Siti Raihanah Roslan (USM KK A)
IPT Lelaki
Johan: GMI Dynamique (Selangor); Naib Johan: UPSI (Perak); Fairplay: UPSI; Pemain Terbaik: Muhammad Shazrin bt. Shahrani Noor (GMI Dynamique)
IPT Wanita
Johan: Universiti Malaya; Naib Johan: USM KK A (Kampus Kesihatan USM); Fairplay: Universiti Malaya; Pemain Terbaik: Foo Sok Yan (Universiti Malaya)
Terbuka Lelaki
Johan: MBPJ Malaysia 1 (Selangor); Naib Johan: Legend A (Kuala Lumpur); Fairplay: MBPJ Malaysia 1; Pemain Terbaik: Zul Affandi (Legend A)
Terbuka Wanita
Johan: MBPJ (Selangor); Naib Johan: Hanelang A (Terengganu); Fairplay: Hanelang A; Pemain Terbaik: Nurul Suhaila Akmal Mustaffa Kamal (Hanelang A)
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1689