USM JALIN KERJASAMA DENGAN PFS
PULAU PINANG, 24 Oktober 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama dengan Penang Free School (PFS) melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di sini hari ini.
MoU tersebut adalah untuk pihak USM membantu para pelajar PFS dan sebaliknya dalam pelbagai bidang termasuk akademik, kepimpinan dan ko-kurikulum.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman penandatanganan MoU tersebut adalah bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan jalinan sedia ada di antara USM dan PFS.
Melalui MoU ini pelbagai kerjasama akan dijalinkan meliputi usahasama bagi meningkatkan pelajar dari segi akademik dan komunikasi serta pembangunan dalam bidang sukan dan program kebudayaan bagi melahirkan bakat-bakat dengan lebih berkualiti.
Selain itu, kedua-dua pihak akan saling bekerjasama dalam pembangunan sumber manusia termasuk untuk guru, pensyarah serta alumni USM dan PFS.
“Melalui bantuan dan tunjuk ajar USM, saya berharap PFS akan menjadi Sekolah APEX yang pertama di negara ini,” ujar Pengetua PFS, Jalil Saad ketika memberikan ucapan dan membentangkan kejayaan PFS sepanjang tahun 2014.
Majlis penandatanganan tersebut diadakan serentak dengan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah PFS kali ke-198 bagi meraikan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga ko-kurikulum.
Majlis yang diadakan setiap 21 Oktober setiap tahun tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jemaah Pentadbir Sekolah PFS, Dato’ Rafique Abdul Karim.
Turut hadir ialah Penasihat Undang-undang USM, Khairul Anuar Che Azmi yang juga menjadi saksi dalam penandatangan MoU tersebut. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1104