KEJAYAAN PELAJAR IJAZAH TINGGI DIRAI
PULAU PINANG, 22 Oktober 2014 – Institut Pengajian Siswazah (IPS) Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan kejayaan pelajar ijazah tinggi yang cemerlang dalam pelbagai bidang dalam Majlis Persada Kencana (MPK) 2014.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman merasmikan majlis tersebut sekaligus menyempurnakan majlis penyampaian sijil dan anugerah kepada para siswazah.
“Universiti berbangga dengan kejayaan semua dan saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melakar sejarah bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk USM juga.
“Saya percaya USM dapat memberikan pelbagai kemudahan untuk menutut ilmu dan menjadikan sesorang pelajar itu lebih holistik dalam menghadapi segala rintangan,” ujar Naib Canselor.
Menurut Pemangku Dekan IPS Profesor Dr. Fauziah Ahmad, MPK dapat memberikan motivasi dan dorongan kepada lebih 10000 orang pelajar ijazah tinggi dari 30 buah negara untuk lebih tekun dalam pelajaran dan bidang lain.
MPK 2014 memberi pengiktirafan kepada sembilan kategori termasuk dua kategori utama iaitu Penyelidik Terbaik dan juga Tesis Terbaik. Kategori lain adalah Penyelidikan Terbaik , Anugerah Sanggar Sanjung (Penerbitan Jurnal & Paten) dan Pelajar Terbaik (Mod Kerja Kursus &Campuran).
“Saya amat bersyukur dengan anugerah ini dan akan lebih bersungguh-sungguh dalam pengajian di peringkat seterusnya,” kata Pelajar Terbaik, Intan Nursyuhada Muhamad Nasir yang akan menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah pada awal tahun depan bersama Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM.
Dua lagi pelajar terbaik Bisan A B Alsalibi dan Wong Kin Loon juga berharap dapat menyambung pelajar ke peringkat Doktor Falsafah dan berterima kasih atas anugerah yang diberikan.
Pengiktirafan diberikan sejajar dengan misi USM sebagai universiti perintis, intensif penyelidikan untuk memperkasakan bakat masa hadapan demi manfaat golongan terkebawah.
Turut hadir menyampaikan anugerah adalah Timbalan-timbalan Naib Canselor iaitu Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Profesor Dato' Dr. See Ching Mey dan Profesor Dr. Adnan Hussein. - Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1452