BERHIJRAH UNTUK KECEMERLANGAN
Selamat menyambut Maal Hijrah 1436. Sejak kira-kira 1,436 tahun lalu umat Islam seluruh dunia telah diajak untuk mentransformasikan diri dalam menghayati nilai-nilai murni agama suci ini untuk mencapai kecemerlangan.
Sejak kedatangan Islam lagi, kita telah diajar dengan segala nilai dan amalan yang berteraskan kepada pembangunan dan bertunjangkan tauhid dalam mencari dan mencapai satu matlamat yang sama, iaitu keredhaan Allah s.w.t melalui menunaikan amanah dan tanggungjawab secara bersama.
Islam mendidik kita untuk mempunyai aqal budi yang tinggi dan melakukannya dengan penuh tulus ikhlas, mengajar tentang pentingnya perpaduan dan bekerja keras untuk agama, masyarakat dan negara.
Inilah juga yang harus kita lakukan muhasabah iaitu melakukan apa jua usaha dalam kerangka yang sama dalam memartabatkan agama melalui pengajian tinggi dari pelbagai disiplin ilmu untuk meningkatkan tamadun umat Islam dan manusia seisi alam.
Ini juga selaras dengan ajaran bahawa Islam adalah agama untuk seisi alam yang berupaya memberikan cahaya dan kesejahteraan kepada semua merentasi kepelbagaian yang ada.
Kerana itu, saya menyeru diri saya dan kita semua untuk sama-sama berhijrah dengan penuh tulus ikhlas menunaikan amanah besar ini. Amanah sebagai orang berilmu, yang mampu melakukan perubahan, yang mampu menjulang kemuliaan ummah, yang mampu menggerakkan kepada usaha kecemerlangan dan yang mampu untuk membina kegemilangan tamadun yang berteraskan ilmu pengetahuan.
Ini bermakna, kita mengenepikan perbezaan, mengenepikan kepentingan peribadi dan mengenepikan hal-hal yang tidak ada kena mengena dengan amanah yang kita pegang dalam sama-sama melaksanakannya dengan sebaik mungkin, melalui tadbir urus yang baik, cekap, berkualiti, berkesan dan mampu membawa perubahan secara bersama.
Marilah kita sama-sama berhijrah untuk melalui perpaduan yang kukuh dan jitu untuk mentransformasikan pengajian tinggi demi kelestarian hari esok. Hanya dengan cara itu, kita dapat gemblengkan pelbagai kekuatan yang ada untuk memacu kecemerlangan.
Saya doakan moga tahun baharu ini membawa keberkatan dan kerahmatan kepada kita semua, dalam peliharaan Allah s.w.t. serta sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menunaikan amanah yang ada.
Marilah juga kita merafakkan doa agar Allah s.w.t memberikan kita semua, ahli-ahli khariyah, warga USM dan para alumni mahu pun mereka yang pernah bersama-sama kita di sini akan sentiasa menjadi insan yang berjasa kepada masyarakat, rumah tangga mahu pun universiti, tempat kerja dan dunia seluruhnya.
Salam Maal Hijrah. Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Maal Hijrah mendidik kita menjadi insan kamil, insan mulia.
PROFESOR DATO' DR. OMAR OSMAN, NAIB CANSELOR
- Created on .
- Hits: 1281