NAIB CANSELOR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI HANNAM UNIVERSITY
PULAU PINANG, 27 Oktober 2014 - Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Hannam University (HNU), Daejeon, Korea Selatan di pejabatnya di sini.
Delegasi HNU seramai tiga orang itu diketuai oleh Presidennya, Dr. Hyungtae Kim; Dekan Hubungan Global, Dr. Seungho Lee dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Wonbae Kim.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan HNU kepada USM dan berbincang tentang jalinan kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama antara USM dan HNU terutamanya dari segi pertukaran pelajar, pertukaran staf akademik, dan kolaborasi penyelidikan.
Dalam perjumpaan tersebut, Naib Canselor USM berkata, beliau berharap dengan terjalinnya kerjasama dua hala ini akan memperkukuhkan lagi perhubungan antara kedua-dua universiti sekaligus membolehkan pelbagai aktiviti bersama dapat dilakukan pada masa hadapan.
“USM perlu meninjau bagaimana untuk memanfaatkan program pertukaran pelajar jangka pendek atau Korean Studies Summer Programme (KSSP) yang ditawarkan di HNU khususnya dalam bidang pengajian perniagaan, pengurusan dan bahasa.
“Program pertukaran pelajar ini juga dilihat sebagai satu langkah untuk USM memperkukuhkan kedudukan dan kemampuan pelajarnya menguasai budaya antarabangsa sejajar dengan dasar pengantarabangsaannya sebagai sebuah Universiti Penyelidikan mahupun APEX,” kata Naib Canselor.
Sementara itu, Presiden HNU melihat kunjungan ke USM itu sebagai satu permulaan yang baik ke arah kerjasama yang lebih erat dalam apa jua bidang antara HNU dan USM.
“Saya amat berbesar hati kerana berpeluang menjejak kaki di USM, salah sebuah universiti yang terulung di Malaysia dan melihat dengan sendiri pencapaian yang dikecapi di universiti ini,” kata Presiden HNU.
Beliau juga mempelawa pihak USM membuat kunjungan balas ke kampus Hannam University dalam masa terdekat ini.
Hannam University yang ditubuhkan pada tahun 1956 menawarkan program akademik untuk ijazah pertama dan pasca ijazah, dan mempunyai hubungan antarabangsa dengan 180 universiti di 40 buah negara.
Terdahulu, delegasi HNU itu sempat mengadakan perjumpaan dengan dua pelajarnya yang mengikuti pengajian bahasa dan seni muzik di USM di bawah program pertukaran pelajar mulai semester ini, selain mengadakan sesi perbincangan dengan Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali tentang program pertukaran pelajar dan kolaborasi lain yang mungkin.
Mereka juga dibawa melawat keliling kampus USM.
Hadir sama menyambut pelawat HNU ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1279