USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAYA DI SINI KERANA USM – KETUA PENGARAH RISDA

1926943 649423771844286 6798661873271612564 n

PULAU PINANG, 29 Oktober 2014 -  Pertemuan dengan beliau pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan RISDA Kali ke-6 2014 yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti baru-baru ini memberi ruang untuk berkongsi pandangan dan pengalamannya setelah lebih 30 tahun meninggalkan Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ini merupakan individu yang sangat senang diajak berbual dan perbualan yang berlangsung selama setengah jam jelas menterjemahkan lagi sifat ramah dan mesra beliau.

Dato' Sri Wan Mohamad Zuki Haji Mohamad, alumni USM Sains Kemasyarakatan dalam pengkhususan Sains Politik dan Pengajian Etnik 1980 ini bukan sahaja ringkas malah setiap bicara beliau mencerminkan diri beliau yang begitu bersemangat sejak zaman beliau menuntut di USM lagi.

"Sebaik mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di USM lebih 30 tahun yang lepas, saya tanamkan dalam diri untuk melibatkan diri dengan aktiviti universiti secara bersungguh-sungguh dan tekad untuk menamatkan  pengajian di USM dengan jayanya," katanya kepada penulis.

"Saya libatkan diri dengan pelbagai aktiviti universiti, dari menjadi pemain teater di Desasiswa, bermain Sepak Takraw bersama kawan-kawan, dan menjadi sebahagian dari pemidato USM walaupun cuma sebagai simpanan," kata beliau yang mengaku masih belum puas untuk berada di USM sepanjang tiga tahun tersebut.

Wan Mohamad Zuki juga menyuarakan rasa bangga beliau sebagai salah seorang dari alumni USM.

"Pengumuman USM sebagai universiti dalam Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX)  dan pencapaian berterusannya sangat membanggakan saya sebagai salah seorang yang pernah menuntut ilmu di dalamnya,".

"Perasaan bangga itulah yang membawa saya dan RISDA di sini pada hari ini secara tidak langsungnya. Saya ingin kembali ke tempat yang telah menjadikan saya seperti saya pada hari ini dan menyumbang kembali kepada USM," sambung beliau.

Memetik kata-kata kegemaran beliau oleh mendiang John F.Kennedy "Ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country", beliau berpendapat inilah yang harus dipegang oleh para alumni dan semua, menyumbang dan bukannya disumbang.

"Para pelajar USM sekarang haruslah menggunakan kesempatan sepanjang berada di sini dalam merebut segala peluang yang ada dengan sebaiknya untuk menjadikan diri mereka lebih berdaya saing  dan memaksimumkan penglibatan dalam segala aktivit universiti," kata beliau apabila ditanya mengenai harapan beliau terhadap para pelajar yang kelak akan menjadi sebahagian dari alumni USM.

"Saya selamanya akan terus berbangga dengan USM dan perasaan menjadi sebahagian dari universiti APEX ini adalah sangat bermakna dalam diri saya," akhiri kata bapa kepada dua cahayamata ini kepada penulis. Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Siti Zaharah Jemaron ​

  • Created on .
  • Hits: 1203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024