USM, RISDA METERAI MOA HASILKAN KLON GETAH BERKUALITI TINGGI
PULAU PINANG, 29 Oktober 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) untuk menjalin kerjasama penyelidikan bagi menghasilkan klon pokok getah baharu bermutu tinggi untuk ditanam di kebun-kebun getah di bawah seliaan RISDA di seluruh negara.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, penyelidikan tersebut yang bertajuk “Aplikasi Data Genomik dan Transkriptomik dalam Pembangunan Klon Getah Bermutu” membabitkan penghasilan klon getah super yang mempunyai ciri-ciri istimewa seperti pengeluaran hasil tinggi dan lebih konsisten, mempunyai batang pokok yang berkualiti serta ketahanan tinggi terhadap pelbagai penyakit dan cuaca.
“Saya yakin kerjasama antara USM dengan RISDA ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya golongan sasaran iaitu komuniti pekebun kecil getah melalui penambahan pendapatan isi rumah mereka berikutan peningkatan dalam produktiviti getah,” kata Omar dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoA program penyelidikan berkenaan di sini semalam.
Hadir bagi menandatangani MoA itu bagi pihak RISDA ialah Pengerusi dan Ketua Pengarahnya, Dato’ Sri Wan Mohamad Zuki Hj. Mohamad. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA, Mohamed Alang Abd. Hamid serta pengurusan tertinggi USM dan RISDA.
Omar yakin dengan kepakaran yang ada pada penyelidik-penyelidik USM, pihak universiti akan dapat membantu agensi kerajaan dalam mempergiatkan usaha penyelidikan yang dapat memajukan sektor pertanian di luar bandar sekali gus membantu dalam pembangunan ekonomi negara.
Malah beliau menyifatkan model kerjasama antara universiti dan agensi kerajaan itu sebagai suatu model yang amat baik untuk dicontohi dan berpotensi untuk dikembangkan untuk meliputi bidang lain misalnya keusahawanan pada masa hadapan.
Sementara itu, Wan Mohamad Zuki juga mengalu-alukan jalinan kerjasama penyelidikan tersebut dan menjangkakan ia akan membantu meningkatkan pendapatan purata bulanan lebih 430,000 pekebun kecil getah di negara ini daripada RM2,300 kepada RM4,000 sebulan menjelang 2020.
“Pihak RISDA memilih USM sebagai rakan penyelidik dalam penghasilan klon getah yang terbaik ini memandangkan USM merupakan peneraju utama dalam mengenalpasti dan memperolehi draf genom getah (rubber draft genome) yang pertama di dunia pada tahun 2009.
“Malah kerjasama penyelidikan ini dilihat sebagai suatu detik yang membanggakan dalam sejarah RISDA kerana ini merupakan kali pertama RISDA menjalin kerjasama dengan sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan apatah lagi dengan USM salah sebuah Universiti Penyelidikan (RU) terulung dan Universiti bertaraf APEX,” tambah beliau.
Program penyelidikan tersebut melibatkan penyelidik-penyelidik USM yang diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman dan Profesor Dr. Mohd. Nazalan Najimudin dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta terbahagi kepada 2 Fasa - Fasa Pertama selama tiga tahun (Oktober 2014 – September 2017) dan Fasa Kedua empat setengah (4 ½) tahun (Oktober 2017 – Mac 2022).
RISDA adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah kawal selia Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertanggungjawab dalam pembangunan sektor pertanian khususnya melalui pelaksanaan program tanam semula dengan misi membentuk masyarakat pekebun kecil yang progresif dan sejahtera melalui aktiviti perladangan dan komersial.
- Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1610