USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PPSPPA WUJUD KAMPUS HIJAU

IMG 8205

PULAU PINANG, 1 Nov 2014 – Kejayaan pelbagai aktiviti pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) ke arah mewujudkan kampus yang lestari dan sejahtera telah membuka mata pelbagai pihak termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). Melalui PPSPPA dan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU), aktiviti-aktiviti pelajar tersebut akan diadaptasi untuk diperkenalkan di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“USM akan memberikan sokongan dalam mewujudkan kampus lestari/hijau terutamanya dalam pengurusan sisa pepejal bersama PPSPPA dengan bantuan penyelidikan oleh pensyarah USM dan juga lebih 600 orang sukarelawan Kampus Sejahtera,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika menerima kunjungan hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk AB. Rahim Md Noor dan juga pegawai-pegawai PPSPPA.

IMG 8210

USM dan PPSPPA telah menandatangani MoU bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan sisa terutamanya sisa pepejal pada bulan April lalu. Sesi perkongsian pelbagai aktiviti oleh Sekretariat Kampus Sejahtera diadakan bagi menjelaskan lagi kerjasama yang akan dijalankan. 

Menurut AB.Rahim, PPSPPA akan menyokong program-program berkaitan inisiatif kampus hijau yang dilaksanakan oleh pelajar USM seperti penjimatan tenaga, air dan kertas, amalan Reduce, Reuse dan Recycle (3R) serta penggunaan pengangkutan mesra alam. 

“Saya berpendapat program kesukarelawanan dan kelestarian yang dijalankan oleh USM ini perlu dicontohi oleh semua Institut Pengajian Tinggi seluruh negara," ujar AB. Rahim.

IMG 8221

“Sehubungan itu dan bagi manfat bersama, PPSPPA merancang pelbagai program lain bagi merealisasikan Program Inisiatif Kampus Hijau terutamanya bagi mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pengurusan Sisa Pepejal yang akan menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran,” kata AB. Rahim.

Semansa sesi kunjungan hormat tersebut, semua delegasi PPSPPA diberikan penerangan mengenai projek-projek Kampus Sejahtera oleh Penyelaras dan sukarelawan Kampus Sejahtera dan kemudian dibawa melawat Projek Kompos USM dan Sisa Makanan USM serta Tapak Projek Biogas Homestay Sg. Chenaam di Nibong Tebal.

IMG 8216

Mereka juga turut bersama para pelajar menjayakan program Sejahtera Walk yang mana peserta akan berjalan di dalam kampus sambil mengutip sampah, menimbang dan merekod jumlah sampah tersebut. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1514

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024