CS-ICE MEMACU SEKTOR TEKNOLOGI MAKLUMAT DI PASARAN GLOBAL
PULAU PINANG, 31 Oktober 2014 – Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (PPSK USM) telah mengadakan Minggu Libatsama Industri dan Komuniti bersama Pusat Pengajian Sains Komputer 2014 (CS-ICE 2014).
“CS-ICE membuka peluang kepada pihak industri untuk menilai kualiti pelajar kita agar ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan kehendak industri pada masa kini,” ucap Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey ketika merasmikan CS-ICE 2014.
Penganjuran kali ini menggabungkan tiga sub program yang bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran mengenai pentingnya penggunaan internet secara berhemah serta beretika.
Antaranya aktiviti yang dijalankan adalah Kem Klik Dengan Bijak untuk para pelajar Tingkatan Empat dari 25 buah sekolah melibatkan negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Selain itu, kesinambungan daripada sub program Jejak Menara Gading Orang Asli Tangkai Cermin (OATC) pada tahun lalu, pihak penganjur telah mengambil inisiatif dengan mengumpulkan ibu bapa, beliawanis serta para pelajar Orang Asli dari perkampungan Tangkai Cermin untuk merasai suasana universiti,” kata Pengarah Program CS-ICE 2014, Dr. Zurinahni Zainol yang juga pensyarah PPSK.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penaja program seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli cawangan Perak, Koperasi Penduduk Tangkai Cermin Kinta Berhad dan My6 Initiative Berhad atas kesudian menjayakan CS-ICE 2014,” tambah Zurinahni.
Turut diadakan adalah Pameran Pengrekrutan dan Latihan Industri Sains Komputer (CSIRF 2014) yang menyelitkan pameran projek tahun akhir pelajar dan temuduga untuk pelajar tahun tiga dan empat PPSK bagi merebut peluang pekerjaan serta latihan industri.
Menurut Syuhada Ramli, pelajar Tahun Dua jurusan Sains Komputer yang juga merupakan ahli jawatankuasa program, mereka telah menjalankan persiapan sejak empat bulan lalu.
“Saya gembira kerana masing-masing begitu komited dan berbangga dengan para pensyarah yang turut bertungkus-lumus memastikan program berjalan lancar,” tambah Syuhada.Teks: Suhaili Mohd Zaini / Foto: Mohd. Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1427