MANFAATKAN ILMU UNTUK MASYARAKAT DAN NEGARA: TUANKU CANSELOR
PULAU PINANG, 5 Nov.2014 - Para graduan diingatkan supaya dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan dan teknologi untuk membantu masyarakat dan negara tanpa ada sempadan yang menghalang serta mengukuhkan nilai-nilai murni yang ada.
Demikian titah Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika berangkat menyempurnakan sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-50 USM di sini hari ini.
Baginda bertitah, graduan juga perlu memperkasakan nilai-nilai tinggalan lama dan membina negara dalam acuan sedia ada serta menghormati kepelbagaian yang ada dan bukannya meruntuhkannya.
"Banyak cabaran yang kita hadapi sekarang termasuk bagaimana untuk mengekalkan segala nilai murni yang menjadi tunjang kesejahteraan rakyat dan masyarakat yang dikongsi bersama dalam semangat persaudaraan yang dibina sejak dahulu.
"Universiti telah pun menunaikan tanggungjawab memberikan ilmu pengetahuan setinggi mungkin, sekarang tugas para graduan untuk memanfaatkannya untuk kebaikan orang lain," titah baginda.
Turut berangkat ke Majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Selain itu, turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.
Pada upacara konvokesyen itu juga Kebawah D.Y.M.M. Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah dianugerakan dengan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang, selain itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil juga dianugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam.
Tuanku Canselor menyifatkan penganugerahan yang diberikan kepada Sultan Brunei sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan baginda dalam kecemerlangan dan kegemilangan pemerintahannya.
"Penganugerahan itu juga sebagai tanda mengeratkan hubungan akrab antara Malaysia dan Brunei. Beta juga berharap kerjasama pendidikan di antara universiti kedua-dua negara akan lebih kukuh melalui usaha penyelidikan, pembangunan mahasiswa dan akademik dalam pelbagai bidang ilmu," katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1110