SULTAN BRUNEI TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR UNDANG-UNDANG
PULAU PINANG, 5 Nov. 2014 - Sultan Brunei, Kebawah D.Y.M.M. Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang pada Upacara Konvokesyen ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Tuanku Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika baginda berangkat menyempurnakan uapcara tertinggi dalam kalendar universiti itu.
Baginda Sultan Brunei dalam titahnya selepas menerima anugerah berkenaan menyifatkan ianya sebagai satu penghormatan yang tinggi dan mampu untuk menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan hubungan sedia ada antara Brunei dengan Malaysia.
Baginda bertitah, anugerah tersebut amat bermakna kerana ia bukan sekadar satu penghormatan kepada baginda namun juga kepada rakyat Brunei, selain turut menjadi kenangan yang cukup bermakna.
``Beta berharap agar hubungan yang sedia terjalin di antara Brunei dan Malaysia akan terus dipertingkatkan melalui kerjasama pendidikan mahupun pertukaran pelajar antara institusi pengajian tinggi kedua buah negara.
``Brunei juga sentiasa mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Brunei. Sama seperti di Malaysia, Brunei juga amat mementingkan pendidikan selaras dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mempunyai rakyat berpendidikan serta harapan untuk lahirkan tenaga kerja yang berilmu dan berkaliber," titah baginda.
Baginda yang diputerakan pada 15 Julai 1946 di Bandar Brunei (sekarang Bandar Seri Begawan) menerima pendidikan awal di Negara Brunei Darussalam sebelum melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur.
Baginda kemudiannya mendapat latihan selaku pegawai di Akademi Tentera DiRaja, Sandhurst, United Kingdom pada 1966 hingga 1967 sebelum ditabalkan sebagai sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 1968.
Baginda merupakan seorang juruterbang yang berkelayakan untuk kapal dan helikopter, mempunyai minat dalam sukan polo, squash dan badminton.
Kebawah DYMM Sultan Brunei diperkenalkan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman selaku pemidato umum.
Dalam pada itu, Omar dalam ucapannya juga berkata, penganugerahan ijazah kehormat pada Upacara Konvokesyen kali ini, yang juga memasuki jubli emas adalah satu sejarah kepada USM.
Penganugerahan itu juga menjadi sejarah kepada negara yang berfokus kepada usaha merealisasaikan pembentukan komuniti ASEAN yang dapat berkongsi sumber dan kekuatan yang ada.
``Sesungguhnya ia juga amat bermakna kepada USM dalam menterjemahkan hasrat ini dalam pembentukan set minda global dalam kalangan warganya.
``Kebawah D.Y.M.M. Paduka Seri Baginda Sultan adalah contoh pemimpin negara yang sangat dihormati termasuk dalam kalangan komuniti akademik dunia yang sangat prihatin kepada proses keilmuan dan budaya saintifik melalui pelbagai usaha dan inisiatif yang dibuat selama ini,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1653