USM PAMER PENYELIDIKAN CEMERLANG
USM PAMER PENYELIDIKAN CEMERLANG
PULAU PINANG, 6 November 2014 – Sempena sambutan Majlis Konvokesyen ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) turut diadakan adalah Pameran Penyelidikan Kecemerlangan USM di sini selama enam hari.
Tuanku Canselor, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan merasmikan pameran tersebut yang mempamerkan lebih 20 produk penyelidikan untuk makluman kepada masyarakat dan juga warga kampus.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pameran ini diadakan khusus untuk menunjukkan pencapaian USM dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima, walaupun tidak dapat menunjukkan keseluruhan penyelidikan tersebut namun 21 produk dan kecemerlangan yang dipamerkan ini menggambarkan kesungguhan USM dalam mendorong budaya penyelidikan dan inovasi yang seharusnya menjadi tunjang kepada kekuatan universiti apatah lagi bagi Universiti Penyelidikan USM ini.
“USM akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menzahirkan kecemerlangan melalui Jaringan Industri dan Masyarakat, Libatsama Komuniti, Pemindahan Ilmu, Pusat-pusat Kecemerlangan malah juga pelbagai disiplin yang ada untuk dirasai oleh semua pihak,” ujar Naib Canselor.
“Ukuran sebenar bukan hanya penghasilan produk untuk pengkomersilan tetapi juga sumbangan dalam bentuk keilmuan, penulisan, penerbitan dan yang tidak kurang pentingnya membanyakkan lagi inovasi sosial, meningkatkan daya saing masyarakat dalam menghadapi persaingan global dan memberikan faedah langsung untuk dinikmati oleh masyarakat,” tambah beliau.
Sejurus selepas ucapan tersebut, Naib Canselor dan juga Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan isteri mengiringi Tuanku Canselor dan D.Y.M.M. Tuanku Raja Perempuan Perlis untuk melawat setiap pameran yang telah disediakan.
Penyelidikan yang dipamerkan merangkumi kumpulan Kejayaan Penyelidikan dan USM serta Pengkomersialan Produk dan Jaringan Industri dan Masyarakat.
Antaranya ialah Pengeluaran secara Berterusan Nanotiub Karbon dengan Reaktor Berputar, Pioneering Drug Addiction Treatment, Membrane Science and Technology Cluster serta Penyelidikan Arkeologi USM.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Brunei Darussalam, Pehin Orang Kaya Kerna Dato’ Seri Setia Haji Awang Abu Bakar Haji Apong, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan isteri serta pegawai-pegawai utama USM dan kerajaan Brunei Darussalam. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1081