USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC DUA NEGARA KONGSI DETIK MANIS

IMG 2017 

PULAU PINANG, 6 NoV. 2014 – Naib Canselor (NC) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Rektor UIN Ar-Raniry, Banda Aceh, Indonesia, Profesor. Dr. H. Farid Wajdi Ibrahim berkongsi kegembiraan meraikan kejayaan permata hati masing-masing dalam Upacara Konvokesyen ke-50, USM di sini semalam.

Omar meraikan kejayaan anak perempuan keempatnya, Safiynaz, 23 yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Projek manakala Farid Wajdi yang juga alumni USM berkongsi kegembiraan dengan anak sulungnya, Zia Faizurrahmany El Faridy yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains Teknologi Bangunan.

Kedua-dua graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam sidang ketiga upacara akademik tertinggi dalam kalendar universiti itu yang telah disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Omar berkata, beliau sentiasa mengambil berat mengenai pendidikan anak-anak dan menggalakkan kesemua anaknya untuk menuntut ilmu sehingga ke tahap tertinggi tidak kira dalam apa jua bidang.

Katanya, dunia pendidikan pada masa kini telah jauh berubah dan proses pembelajaran sentiasa berkembang yang turut memberi peluang untuk graduan meneroka dunia ilmu dengan meluas.

``Saya menggalakkan sesiapa sahaja untuk terus belajar dan mendapatkan ijazah kedua (sarjana) dan ketiga (Ph.D). Bagus sekiranya kita terus menuntut ilmu dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam satu-satu bidang,’’ ujarnya.

Beliau turut ditemani suri hidupnya, Datin Noraizan Jamaludin dan anak bongsunya bagi meraikan Safiynaz di sini semalam. Omar dan isterinya dikurniakan enam cahayamata yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 31 tahun.

Sementara itu, Farid Wajdi pula melahirkan rasa teruja kerana anak sulungnya itu turut menjejaki langkahnya yang terdahulu memperoleh Ph.D USM pada tahun 2000.

``Saya tidak pernah memaksa Zia Faizurrahmany untuk belajar di USM. Kedatangannya ke Malaysia adalah atas kehendaknya sendiri setelah melihat suasana kampus dan kursus-kursus yang ditawarkan di sini.

``Malah lebih mengharukan, kami sekeluarga turut boleh menyanyikan lagu Menara Ilmu kerana USM memeng sentiasa dekat di hati dan saya sangat gembira masih berpeluang untuk berkongsi kegembiraan dengan warga USM yang lain,’’ ujarnya.

Kedua-dua graduan, Safiynaz dan Zia Faizurrahmany turut melahirkan rasa berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang disifatkan sebagai rakan baik yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan dorongan untuk terus menimba ilmu.

Safiynaz berkata, beliau sedang mempersiapkan diri untuk meneruskan pengajian ke peringkat Ph.D dan berharap ia dapat direalisasikan bagi memenuhi cita-citanya, selain memenuhi hasrat ibu bapanya untuk melihat kejayaannya menimba ilmu ke tahap tertinggi.

``Kedua-dua ibu bapa sememangnya sangat mengambil berat dan saya terdorong untuk terus menyambung Ph.D dengan adanya sokongan dari mereka,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1492

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024