USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUMPULAN PERTAMA TERIMA BANTUAN YAYASAN USM

IMG 1813

KUMPULAN PERTAMA TERIMA BANTUAN YAYASAN USM

PULAU PINANG, 7 November 2014 – Seramai 10 orang pelajar perintis menerima bantuan daripada Tabung Bakat (Biasiswa dan Hadiah) melalui Yayasan Universiti Sains Malaysia (Yayasan USM) bagi menampung kos pembelajaran dan sara hidup sepanjang pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Para pelajar ini menerima sumbangan biasiswa tersebut yang berjumlah RM40,000 sepanjang pengajian iaitu RM12,000 untuk elaun sara hidup manakala RM28,000  untuk menyelesaikan yuran pembelajaran.

Kumpulan pertama ini menerima Dermasiswa Kasih USM yang disumbangkan oleh Penaung Badan Amal dan Kebajikan MK, Tan Sri Datuk (Dr) Mustapha Kamal Abu Bakar yang berjumlah keseluruhan RM500,000.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan USM yang juga Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur  Yayasan USM memberi peluang kepada semua untuk menyatukan usaha penjanaan kewangan serta mengembleng sumber-sumber bagi mendapatkan dana untuk pembangunan USM.

“Yayasan USM ditubuhkan pada 31 Mac 2014 di bawah Akta Pemegang Amanag (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) yang mendokong serta bergerak seiring USM untuk merealisasikan usahanya memacu kecemerlangan dengan motto Membina Masa Hadapan yang Lestari,” tambah Pro Canselor.

“Melalui Yayasan USM ini kita boleh terokai sumber-sumber yang ada termasuk dari luar negara untuk pelbagai tujuan dalam jangka panjang yang boleh disumbangkan melalui 9 Tabung yang telah diwujudkan yang mempunyai kriteria yang unik,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika berucap di Majlis ‘Soft Launching’ Yayasan USM di sini hari ini.

Antara tabung yang diwujudkan adalah Tabung Bakat (Biasiswa dan Hadiah) membantu sara hidup para pelajar yang memerlukannya, Tabung Kursi untuk membiayai ahli akademik ulung dan ahli professional dalam  perkembangan dan perkongsian ilmu, Tabung Penyelidikan untuk  membiayai penyelidikan yang berkaitan dengan agenda kelestarian, Tabung Akademik dan Pengantarabangsaan untuk  menyokong program akademik termasuklah program mobiliti staf akademik dan pelajar bagi pendedahan global dan  Tabung Libatsama (Komuniti dan Industri) untuk  menyokong program-program libatsama di antara universiti dengan komuniti dan industri.

Tabung-tabung lain ialah Tabung Endowmen Islam, Tabung APEX, Tabung Bangunan dan Penyelenggaraan dan Tabung AM.

Antara penyumbang lain bagi Yayasan USM setakat ini ialah Toray Industries (Malaysia) Sdn. Bhd, Malaysia Building Society Berhad,USAINS Holding Sdn. Bhd. dan Bank Islam Malaysia Berhad. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1585

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024